JAWAPAN yang diberikan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berhubung kemenangan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Parlimen Kemaman disifatkan sebagai satu respons selamat yang boleh memberi gambaran bahawa kemenangan tersebut dilihat tidak ketara sehingga memberi kesan terhadap Kerajaan Perpaduan.
Demikian ulasan penganalisis politik, Muhammad Anwar Fahmi Hari Das Abdullah terhadap perbandingan yang dibuat oleh Fahmi terhadap majoriti kemenangan Samsuri dengan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu.
"Saya melihat, Fahmi mencari satu jawapan yang selamat dan boleh memberi gambaran bahawa kemenangan tersebut dilihat tidak ketara sehingga memberi kesan terhadap Kerajaan Perpaduan.
"Ia disebabkan beliau bercakap atas kapasiti ideologi politik kerajaan, jadi memang jawapannya akan terlihat bukan ke arah Samsuri," katanya kepada Majoriti.
Terdahulu, Fahmi dilaporkan berkata, jumlah majoriti Ahmad Samsuri adalah jauh lebih kecil jika mahu dibandingkan dengan Mohamad Sabu yang menang dengan majoriti lebih 73,000 ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Untuk rekod, pada PRU-15, Mohamad menang di Parlimen Kota Raja dalam pertandingan lapan penjuru sekali gus mempertahankan kerusi yang turut ditandingi pada PRU-14.
Mohamad meraih 123,306 undi dengan majoriti besar sebanyak 73,998 undi meninggalkan kesemua tujuh calon lain yang bertanding.
Ahmad Samsuri pula menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman selepas memperoleh 64,998 undi, iaitu dengan majoriti 37,220 undi pada Sabtu.
Mohamad Sabu menang dengan majoriti lebih 73,000 pada PRU-15. — Bernama
Mengulas lanjut, Anwar Fahmi yang Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Melaka berkata, kemenangan Ahmad Samsuri dalam PRK Kemaman di Terengganu disebabkan didorong oleh sentimen yang dibawa pemimpin itu sendiri ketika menjalankan tugas di negeri tersebut.
"Sentimen Islamik sememangnya terlalu kuat terutamanya di Terengganu dan Kelantan, maka tepatlah apabila PAS atau Perikatan Nasional (PN) itu meletakkan Samsuri sebagai calon.
"Jika dilihat latar belakangnya, beliau mempunyai karisma yang sudah tentunya dekat dengan sentimen tersebut di negeri itu.
"Saya juga tidak menafikan bahawa Kelantan dan Terengganu sering kali menjadi kubu kuat bagi PAS dan begitu juga dengan keadaan sekarang.
Samsuri meraih kemenangan besar dalam PRK Kemaman baru-baru ini. — Bernama
"Jika kita melihat Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sendiri yang bertanding di PRK itu, saya sebagai penganalisis politik pun yakin kemenangan tetap berpihak kepada Samsuri.
"Walaupun kita melihat Anwar Ibrahim sebagai seorang yang berintelektual dan mempunyai pengaruh kuat, tetapi kita perlu faham tentang senario demografi pengundi yang telah dibawa dengan sentimen kenegerian," katanya.
Tambahnya, sesiapa sahaja pun selain PAS yang bertanding di Kelantan atau Terengganu tidak mudah untuk memenangi hati penduduk di negeri itu kerana ideologi dan sentimen Islamik yang kuat.
Dalam pada itu, Anwar Fahmi mencadangkan bahawa para pemimpin khususnya di negeri-negeri pembangkang perlu bersifat lebih profesional dalam membuat urusan dengan sesiapa pun yang menjadi Perdana Menteri selepas selesainya PRK atau PRU akan datang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram