YB jemput penjaja Puncak Alam jumpa ‘empat mata’, buat aduan


  • Bizz
  • Ahad, 16 Jun 2024

Lokasi Eco Grandeur yang strategik menyebabkan ramai peniaga memilih untuk membuka tapak perniagaan di kawasan itu.

RATA-RATA penjaja yang berniaga di kawasan Eco Grandeur, Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor, Selangor meluahkan kekecewaan berikutan perniagaan mereka sering diganggu pihak penguat kuasa.

Tinjauan Majoriti di lokasi berkenaan baru-baru ini mendapati, meskipun sudah diberi notis dan kompaun beberapa kali, para penjaja masih rancak berniaga, dengan kebanyakannya memaklumkan keputusan itu terpaksa dibuat bagi mencari pendapatan buat menyara keluarga.

Mengulas mengenai isu tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan menasihatkan agar peniaga membuat aduan kepadanya berhubung sebarang masalah berbangkit, termasuk isu tapak niaga.

BACA LAGI: 'Kami pun tidak mahu berniaga dalam ketakutan', penjaja di Puncak Alam luah isu permohonan jalankan bisnes

BACA LAGI: 'Kalau ada 100 usahawan macam Khairul Aming, lebih 10,000 anak muda takkan tinggalkan Kelantan'

adun

Harrison berkata, beliau akan membela apa sahaja yang baik untuk rakyat dengan mengikut undang-undang.

Beliau berkata, aduan itu kemudian akan dipanjangkan kepada Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) dan pihak berkaitan bagi menyelesaikan isu tersebut.

Harrison dalam pada itu turut menyarankan agar penjaja yang belum mempunyai lesen perniagaan untuk memohon permit terlebih dahulu.

"Pada awal tahun lalu, saya sudah nasihatkan mana-mana peniaga yang belum ada lesen supaya buat permohonan terlebih dahulu.

"Dalam dunia perniagaan, tak kiralah di kawasan mana anda berniaga, sama ada di tepi jalan mahupun dalam lot kedai, mesti kena ada lesen yang sah.

"Kemudian barulah kita akan bincangkan soal tapak pula," katanya kepada Majoriti.

Harrison menegaskan bahawa setiap perkara perlu dilaksanakan mengikut prosedur dan undang-undang yang ditetapkan pihak berkuasa.

"Saya bukan koboi yang tiba-tiba buat itu ini, sekarang dah 2024, bukan tahun 1952. Kita semua pun sudah matang, ada cara dan saluran betul yang disediakan untuk melakukan sesuatu.

"Saya akan membela apa sahaja yang baik untuk rakyat dengan mengikut undang-undang yang sah," ujarnya.

stok2

Rata-rata penjaja meluahkan kekecewaan selepas permohonan menjalankan perniagaan di kawasan Eco Grandeur ditolak penguat kuasa. — Gambar hiasan

Mengulas tentang tapak Eco Grandeur itu pula, beliau berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa lokasi tersebut merupakan tanah persendirian milik EcoWorld Development Group Bhd (EcoWorld).

Justeru jelasnya, peniaga perlu mendapatkan kebenaran daripada pemilik tanah dan juga pihak MPKS untuk menjalankan perniagaan di kawasan itu.

"Selagi mereka boleh meniaga dengan aman, saya pun tiada masalah, namun ceritanya sekarang adalah tanah itu hak milik pemaju hartanah.

"Jadi sebarang aktiviti di situ perlu kebenaran syarikat tersebut, namun apabila aduan dikemukakan kepada kami, saya akan cuba untuk bawa (hal) ini ke peringkat atas dan mencari jalan penyelesaian yang sebaiknya," jelas beliau.

Dalam masa sama, Majoriti juga dalam usaha mendapatkan maklum balas daripada pihak MPKS dan Eco Grandeur berhubung perkara tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram