Kes Zayn Rayyan: MCMC kenal pasti laman media sosial sebar maklumat bocor


  • Primer
  • Sabtu, 15 Jun 2024

MCMC sudah mengenal pasti beberapa laman media sosial yang menyebarkan maklumat siasatan yang didakwa terkait dengan kes pembunuhan Zayn Rayyan Abdul Matiin.

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sudah mengenal pasti beberapa laman media sosial yang menyebarkan maklumat siasatan yang didakwa terkait dengan kes pembunuhan Zayn Rayyan Abdul Matiin.

MCMC dalam satu kenyataan pada Sabtu memaklumkan, pihaknya telah mengemukakan permohonan kepada pengendali platform media sosial termasuk TikTok dan Telegram, untuk mengeluarkan kandungan yang berkaitan.

“Berkongsi atau menyebarkan maklumat siasatan yang didakwa mengenai kes itu adalah tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu perbicaraan," katanya.

BACA LAGI: Zayn Rayyan: Hanya seorang suspek terlibat, letak mayat waktu hujan lebat — Polis

BACA LAGI: Kes Zayn Rayyan: Pendedahan 'Edisi Siasat' adalah fitnah — Peguam

Peguam, Fahmi Abd Moin mendakwa pendedahan dibuat berhubung kes kematian Zayn Rayyan adalah fitnah.

MCMC turut mengingatkan orang ramai agar tidak berkongsi maklumat yang tidak sahih atau palsu.

Ujarnya, pengguna media sosial juga digesa untuk memadamkan hantaran atau sebarang komen yang boleh mencetuskan spekulasi berhubung kes berkenaan.

“Berkongsi maklumat yang tidak sah atau palsu boleh menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, serta denda lanjutan sebanyak RM1,000 bagi setiap hari kesalahan tersebut diteruskan selepas pensabitan,” tambahnya.

MCMC pada Jumaat berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyiasat penyebaran kertas siasatan kes kematian Zayn Rayyan, 6, menerusi aplikasi Telegram.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pihak yang menyebarkan kertas siasatan tersebut boleh diambil tindakan kerana kes itu kini di peringkat mahkamah.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Komisaris Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, mereka akan menyiasat laporan Telegram 'Edisi Siasat' susulan dakwaan berkaitan kes tersebut.

Untuk rekod, ibu bapa Zayn Rayyan, iaitu Zaim Ikhwan Zahari, 29, dan Ismanira Abdul Manaf, 29, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan kecuaian kanak-kanak di hadapan hakim Dr Syahliza Warnoh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram