[VIDEO] Berbalas tembakan, polis tembak mati 2 penjenayah cuba lari naik MPV putih di JB


  • 112
  • Sabtu, 15 Jun 2024

Tangkap layar video tular memaparkan insiden tembakan di Jalan Abad, Taman Abad, Johor Bahru, Johor pada Jumaat.

DUA penjenayah terbunuh selepas ditembak oleh anggota polis dalam kejadian berbalas tembakan di Jalan Abad, Taman Abad di Johor Bahru, Johor pada Jumaat.

Insiden mengenai situasi tegang tersebut turut tular di media sosial.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, Polis Kontinjen Johor menerima satu laporan berhubung kejadian tersebut pada pukul 5.04 petang.

BACA LAGI: 'Jika tarik lesen bas, 1.5 juta murid tidak pergi sekolah'

BACA LAGI: PKR ada kelebihan jika ikut trend, PAS perlu elemen lain pertahan Sungai Bakap

Dalam insiden tersebut, seorang suspek berusia 42 tahun bersama rakannya mati ditembak ketika berada dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka.

"Kejadian berlaku semasa sepasukan polis dari Bahagian D14, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Bahagian D9, JSJ Kontinjen Johor mengekori sebuah Toyota Estima berwarna putih di lokasi kejadian dalam keadaan mencurigakan.

"Apabila menyedari diekori, suspek bertindak melarikan diri sambil melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan polis yang sedang mengekori rapat.

"Tindakan suspek menyebabkan pihak polis turut melepaskan tembakan ke arah MPV dinaiki suspek, kejadian berbalas tembakan berlarutan sehingga keadaan selamat," katanya dalam satu kenyataan.

Kumar berkata, susulan daripada itu, hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek yang berada di dalam Toyota Estima tersebut sudah terkena tembakan dan meninggal dunia.

Menurut beliau, suspek berusia 42 tahun didapati mempunyai 38 rekod jenayah dan dadah manakala seorang lagi masih belum dikenal pasti identiti selepas tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui.

Katanya, pemeriksaan lanjut dijalankan turut menjumpai dua pucuk pistol di dalam kenderaan dinaiki suspek.

"Polis turut menjumpai sepucuk pistol pada badan salah seorang suspek. Turut ditemui pelbagai jenis bahan dipercayai dadah berbahaya di dalam kenderaan tersebut," ujar beliau.

Kumar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat lain berhubung kejadian ini dirayu tampil menyalurkan maklumat ke talian hotline Polis Johor 019-2792095 atau talian bilik gerakan 07-221299.

Dalam video tular mengenai insiden terbabit, pihak polis dilihat menutup sebuah jalan dipercayai ekoran kejadian berbalas tembakan yang berlaku di lokasi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram