Ganja era 'Gen-Z' lebih bahaya, penagih sukar dikesan melalui vape


  • Massa
  • Jumaat, 14 Jun 2024

Pengambilan dadah melalui cecair perisa vape kian meruncing dalam kalangan pelajar sekolah. — Gambar hiasan

KEGIATAN menghisap rokok elektronik atau lebih dikenali sebagai vape kini telah menjadi budaya dalam kalangan masyarakat khususnya golongan pelajar sekolah di Malaysia.

Malah, lebih merisaukan apabila vape kini mula menjadi sasaran penagih ekoran kewujudan cecair berperisa ganja yang semakin berleluasa kebelakangan ini.

Meskipun perisa haram itu sukar didapati di premis vape, namun kegiatan jual beli melalui pasaran gelap mahupun secara dalam talian sentiasa dijadikan 'lubuk' buat penggemar ganja.

BACA LAGI: Penggunaan dadah meningkat selepas Covid-19 khususnya ubat kuat lelaki, kandungan cecair vape

BACA LAGI: Industri vape bakal terkubur angkara peraturan ketat KKM?

Dikategorikan sebagai dadah era generasi baharu, rata-rata pembelinya dipercayai terdiri dalam kalangan pelajar sekolah.

Berdasarkan tinjauan Majoriti di beberapa premis jualan vape sekitar Klang, Selangor, baru-baru ini, pemilik ataupun penjual didakwa membekalkan vape berperisa itu kepada golongan pelajar secara rahsia.

Beberapa lokasi tumpuan jualan itu dijalankan adalah di gelanggang futsal, pusat snuker dan taman rekreasi yang menjadi kawasan lepak remaja sekolah.

2726451

Jualan vape berperisa ganja kian menjadi tumpuan malah turut pengedarannya berleluasa di tempat awam seperti gelanggang futsal. — Gambar hiasan

Mengulas lanjut berhubung hal itu, Pakar Kesihatan Komuniti Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, penggunaan ganja dalam cecair vape lebih berbahaya berbanding secara fizikal.

Jelasnya, masyarakat akan lebih sukar untuk mengenal pasti individu yang mengambil dadah melalui rokok elektronik itu kerana kesannya terhadap perubahan fizikal tidak ketara seperti biasa.

"Fizikal dan rupa individu yang mengambil vape ganja ini tidak ketara seperti suntikan ganja yang biasa, jadi mereka lebih mudah untuk berselindung di sebalik kesalahan dilakukan.

"Generasi Z misalnya antara yang terlepas daripada tindakan undang-undang kerana mengambil pendekatan secara halus melalui vape, malah ibu bapa mereka juga sukar mengenal pasti kegiatan anak-anak.

"Seolah-olah tiada pantauan, dadah ganja kini diedarkan secara meluas di kawasan rekreasi yang menjadi tumpuan remaja secara tersembunyi," katanya ketika dihubungi Majoriti.

yu

Dr. Sharifa menyifatkan pengambilan dadah melalui perisa vape sangat berbahaya.

Ditanya soal bahaya dari sudut kesihatan pengambilan vape ganja, beliau berkata, ia lebih berbahaya kerana boleh mengakibatkan golongan berkenaan ketagih dan khayal di tempat awam.

"Pada dasarnya ia memang kelihatan seperti tidak berbahaya tetapi, sebenarnya mereka akan mudah ketagih dan seterusnya hilang tumpuan ataupun khayal di khalayak ramai.

"Lebih bahaya apabila golongan remaja yang terkesan dengan gejala itu akan mudah memberontak jika dihalang dan boleh mencederakan ibu bapa mereka.

"Tiada istilah dos rendah digunakan dalam perisa vape ganja, asalkan ia di bawah kategori dadah maka semuanya adalah berbahaya apatah lagi melalui cecair yang sukar diketahui," tambahnya.

Untuk rekod, polis pada Mac lalu berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dan penjualan ganja dalam bentuk cecair rokok elektronik di Melaka.

Menurut Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah, suspek berusia 45 tahun bekerja sebagai penghantar barang ditahan di kawasan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh arah Selatan pada 27 Mac lalu.

Polis merampas dadah jenis ganja seberat 41.28 kilogram serta 300 unit cecair ganja untuk digunakan bersama vape bernilai RM130,971. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram