AHLI Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menegaskan masih kekal sebagai ahli Parlimen kerana beliau tidak meletakkan jawatan, sebaliknya dibuang daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Menurut Syed Abu Hussin, beliau menerima satu notis pemberitahuan yang memaklumkan namanya dikeluarkan daripada senarai keahlian parti.
Beliau berkata, merujuk kepada Perkara 49A (1) Perlembagaan Persekutuan, kerusi seseorang ahli Parlimen kosong jika setelah dipilih ke dewan rakyat sebagai anggota suatu parti politik, mereka melepaskan keanggotaan parti.
BACA LAGI: Enam MP BERSATU terima notis terhenti serta-merta — Hamzah Zainudin
BACA LAGI: 'MP BERSATU berpaling tadah dihentikan keahlian, bukan lucut' — Saifuddin
Syed Abu Hussin
“Seterusnya, kerusi juga akan kosong jika dia (ahli Parlimen) tidak lagi menjadi anggota parti politik itu atau setelah dipilih ke dewan rakyat bukan sebagai anggota suatu parti politik atau dia menyertai satu parti politik sebagai anggota.
“Perlembagaan Persekutuan secara khusus merujuk ketiga-tiga syarat pengosongan kerusi dewan rakyat itu menggunakan perkataan ‘dia’ yang merujuk kepada tindakan atau pengumuman seseorang ahli Parlimen dan bukan tindakan atau pengumuman pihak ketiga.
“Ahli dewan rakyat itu sahaja yang berhak membuat pengisytiharan sama ada melepaskan keanggotan atau mengisytiharkan bahawa mereka tidak lagi menjadi anggota parti itu. Saya tidak berhenti tetapi saya dipecat oleh parti maka saya masih ahli Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Syed Abu Hussin Hafiz berkata, daripada penjelasan di bawah Perkara 49A, beliau jelas tidak melanggar peruntukan yang memerlukan Speaker Dewan Rakyat mengisytiharkan kerusi itu perlu dikosongkan.
“BERSATU meminda perlembagaan parti untuk memecat saya.
“Perkara 49A (2) (c) dengan jelas menyatakan bahawa jawatan saya sebagai ahli Parlimen tidak berakhir apabila parti memecat saya.
“Pindaan perlembagaan BERSATU sengaja dibuat untuk memecat saya.
“Kesahihan pindaan perlembagaan BERSATU berhubung jawatan Ahli Parlimen adalah tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan, dan bukan sebaliknya, dan dengan itu ia (pindaan) tidak memberi kesan kepada kedudukan saya sebagai ahli Parlimen,” katanya.
Kenyataan dikeluarkan BERSATU selepas mesyuarat Majlis Tertinggi PN diadakan. — Facebook/Hamzah Zainudin
Tambah Syed Abu Hussin, beliau menyokong tujuan dan matlamat parti itu dalam menjunjung kemuliaan dan kedaulatan institusi Raja Berperlembagaan, menegakkan sistem demokrasi berparlimen, memperkasa agenda memerangi rasuah serta salah guna kuasa.
Dalam masa sama turut memperjuangkan keadilan sosial, membela kebajikan rakyat dan membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan agama.
“Oleh itu, saya akan menyokong mana-mana pihak yang menyokong tujuan dan matlamat BERSATU ini termasuk pihak komponen Perikatan Nasional (PN) dan kerajaan. Ini termasuk usaha-usaha membantu kawasan Parlimen saya, bagi membolehkan rakyat di kawasan saya mendapat bantuan kebajikan.
“Contohnya, pembiayaan projek membuat jalan, pembangunan kemudahan infrastruktur, mengadakan program komuniti dalam masyarakat dan memberi bantuan untuk pesakit serta agihan makanan kepada golongan memerlukan, membuat persiapan banjir dan pengurusan pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen,” ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram