[VIDEO] ‘Kalau ada bukti, repot SPRM’, Rafizi jawab tuduhan Sanusi dakwa PH kutip dana PRU16


  • Politik
  • Isnin, 10 Jun 2024

Rafizi (kiri) dan Sanusi merupakan pengerusi pilihan raya bagi parti masing-masing.

MENTERI Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor diminta segera membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) apabila mendakwa terdapat ‘individu-individu’ dalam DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedang mengumpulkan dana Pilihan Raya Umum (PRU16).

Memetik laporan Free Malaysia Today, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, Sanusi sengaja membangkitkan tuduhan seperti itu untuk menutup kelemahannya mentadbir Kedah.

“Sanusi, kalau cucuk dia cepat melompat, kalau ada bukti, dah hebat sangat buat laporan SPRM esok, tiada orang campur tangan. Kalau betul ada orang DAP ‘pow-pow’ duit, sebabkan perancangan Sanusi tak berjalan. Kalau ada, sebut.

“Jangan gunakan PRK untuk tanam dendam fitnah dan bodohkan lebih ramai orang Melayu, kalau tak reti buat kerja mengaku. Kalau betul ada, buat laporan SPRM,” katanya ketika pelancaran jentera kerajaan perpaduan bagi PRK DUN Sungai Bakap pada Ahad.

BACA LAGI: 'MP BERSATU berpaling tadah dihentikan keahlian, bukan lucut' — Saifuddin

BACA LAGI: 'Mereka tidak menguntungkan', peluang MP Bersatu berpaling tadah dicalonkan semula jika PRK diadakan sangat tipis

Ucapan Rafizi ketika pelancaran jentera kerajaan perpaduan bagi PRK DUN Sungai Bakap.

Terdahulu, Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) dipetik media mendakwa terdapat banyak projek tergendala di Kedah disebabkan tiada ‘pelincir’ atau rasuah diberikan kepada wakil PKR dan DAP.

Sanusi dilaporkan membuat dakwaan itu ketika berucap pada pelancaran jentera PN PRK Sungai Bakap pada Sabtu lalu.

Rafizi yang juga Pengarah Pilihan Raya PKR berkata, dia tidak menolak Sanusi akan berterusan menggunakan cara seperti itu untuk berkempen pada pilihan raya berkenaan.

“Kalau tak ada (laporan SPRM) maksudnya bersedialah dalam tempoh kempen macam-macam cerita Sanusi akan buat,” katanya.

Dalam pada itu, Rafizi berkata, Kerajaan Perpaduan akan mengumumkan calon bagi PRK Sungai Bakap, Rabu ini.

Katanya, mesyuarat pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) akan diadakan esok untuk membentangkan calon yang dipilih sebelum diperakukan.

PRK Sungai Bakap akan diadakan pada 6 Julai dengan penamaan calon dijadualkan 22 Jun, manakala undi awal pula akan diadakan pada 2 Julai.

Pilihan raya itu diadakan susulan kematian Adun PAS daripada Perikatan Nasional (PN), Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan perut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram