Lepas diesel, CAP minta kerajaan laksana rasionalisasi subsidi petrol RON95 sebagai langkah seterusnya


  • Massa
  • Rabu, 12 Jun 2024

Mohideen berkata, rasionalisasi terhadap bahan api berkenaan akan menghasilkan penjimatan lebih besar kepada kerajaan dan harus menjadi langkah seterusnya selepas penyasaran subsidi terhadap diesel. — Gambar hiasan

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) meminta kerajaan mempertimbangkan supaya rasionalisasi subsidi yang ketika ini mula dilaksanakan terhadap diesel turut dilakukan terhadap petrol RON95.

Presidennya Mohideen Abdul Kader berkata, rasionalisasi terhadap bahan api berkenaan akan menghasilkan penjimatan lebih besar kepada kerajaan dan harus menjadi langkah seterusnya selepas penyasaran subsidi terhadap diesel.

Jelasnya, kumpulan rentan yang terjejas oleh dasar rasionalisasi bahan api itu boleh diberi bantuan kewangan untuk menghadapi peningkatan kos akibat dasar berkenaan.

BACA LAGI: Nasib 6 MP BERSATU: Tak mustahil diterima kembali jadi calon, singkap sejarah Umno terima semula ahli parti

BACA LAGI: 'MP BERSATU berpaling tadah dihentikan keahlian, bukan lucut' — Saifuddin

"Subsidi bahan api, termasuk diesel, berjumlah RM60 bilion setahun iaitu 1.5 kali ganda jumlah yang diperuntukkan untuk penjagaan kesihatan (sekitar RM40 bilion) dalam Bajet 2024.

"Sebuah hospital moden 1,000 katil berharga antara RM1.3bilion dan RM 1.4bilion.

"Kita boleh mempunyai hospital yang lebih lengkap dan penjagaan kesihatan yang jauh lebih baik dengan wang daripada subsidi yang dihapuskan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mohideen berkata, harga petrol bersubsidi Malaysia bagi RON 95 menjadikannya paling murah dalam kalangan sembilan negara Asean.

“Harga petrol di Malaysia adalah 47.44 peratus murah daripada Indonesia (RM3.90) dan 54.24 peratus kurang daripada Vietnam (RM4.48).

“Subsidi pukal ini tidak mapan kerana ia memberi tekanan terhadap perbendaharaan negara.

"Pada 2020, kerajaan membelanjakan RM4.66 bilion untuk subsidi; pada 2021, RM13.13 bilion; dan pada 2022, hampir RM80 bilion yang disifatkan sebagai yang tertinggi dalam sejarah," katanya.

(BRIEF CAPTION)  CAP president Mohideen Abdul Kader giving press conference on LRT issue at CAP office in Penang . Pic by: ZHAFARAN NASIB/The Star / 25 October 2019.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader

Mohideen berkata, rasionalisasi subsidi bahan api yang sedang dilaksanakan ini mesti dilaksanakan tanpa sebarang pusingan U berikutan tekanan daripada mereka yang mempunyai kepentingan dan pertalian politik.

"Pemimpin kerajaan mesti bertindak tegas apabila melaksanakan dasar yang dianggap tidak popular tetapi dalam jangka panjang, akan menjadikan ekonomi kita berdaya tahan dan memberi manfaat kepada rakyat dan negara," katanya sambil menyatakan bahawa langkah penyasaran subsidi yang mula dilaksanakan pada Isnin itu adalah satu tindakan tepat.

Ujar beliau, pemberian subsidi sepatutnya disalurkan kepada mereka yang memerlukan dan bukan untuk semua orang tanpa mengira status ekonomi.

Dengan melaksanakan dasar rasionalisasi itu, beliau berkata, kerajaan akan mempunyai RM4 bilion, mungkin lebih, untuk pembangunan ekonomi dan kebajikan sosial.

“Penerima subsidi mesti diperkasakan supaya selepas satu masa, mereka boleh berdiri di atas kaki sendiri dan tidak bergantung kepada pemberian,” katanya.

Pada masa sama, Mohideen berkata, pelaksanaan dasar sedemikian mesti dipantau bagi memastikan tiada ketirisan atau penyalahgunaan.

“Subsidi mesti diberikan kepada individu, kumpulan dan perniagaan yang disasarkan dan tidak tiris akibat unsur rasuah.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup mesti memantau harga barangan dan perkhidmatan bagi mengelak pencatutan oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan daripada pemansuhan subsidi diesel.

“Menurut pakar ekonomi, ia hanya akan memberi kesan minimum kepada kos menjalankan perniagaan mereka. Oleh itu, tiada justifikasi untuk menaikkan harga dan tindakan tegas mesti diambil terhadap pencatut termasuk mendakwa mereka dan membatalkan lesen mereka,” katanya.

Sementara itu, dengan penjimatan subsidi bahan api, Mohideen berkata, kerajaan harus menambah baik pengangkutan awam yang pada umumnya tidak berada di tahap baik terbaik termasuk dalam menyediakan sistem bas yang cekap.

“Ini akan mengurangkan bilangan kereta persendirian di jalan raya, membawa kepada penjimatan tenaga dan mengurangkan pencemaran alam sekitar,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram