PBEM kemuka cadangan harga diesel RM2.15 seliter sehingga penyelesaian interim dilaksanakan


  • Massa
  • Rabu, 12 Jun 2024

Pengusaha bas ekspres terpaksa menanggung beban kewangan susulan peningkatan harga diesel sejak Isnin. — Gambar hiasan

SYARIKAT pengusaha bas ekspres kini berdepan detik sukar apabila terpaksa menanggung beban kewangan susulan kenaikan harga diesel sejak Isnin.

Presiden Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Malaysia (PBEM), Mohd Nazri Md Yusof berkata, pengendali bas ekspres menghadapi kesukaran untuk mengekalkan perkhidmatan disebabkan peningkatan mendadak kos operasi akibat kenaikan harga diesel.

Nazri berkata, sektor bas ekspres memainkan peranan penting dalam menyediakan kemudahan pengangkutan mampu milik untuk rakyat, terutamanya golongan B40 secara harian, mingguan dan juga semasa musim perayaan.

BACA LAGI: Subsidi diesel: Kumpulan pertama Budi Madani terima bayaran 10 Jun

BACA LAGI: Harga diesel RM3.35 mulai tengah malam Isnin

"Ramai penumpang telah membeli tiket mereka lebih awal untuk sambutan perayaan akan datang seperti Hari Raya Aidil Adha.

"Namun penjualan harga tiket sebelum ini adalah bersandarkan kos harga diesel RM2.15 seliter," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

2739470 (1)

Penyasaran subsidi diesel mula dilaksanakan sejak Isnin.

Beliau pada masa sama turut mengutarakan ketidakseimbangan ketara dalam subsidi diesel yang diberikan kepada sektor berbeza.

"Pada masa ini, perkhidmatan lori menerima subsidi sebanyak 6,999 liter sebulan, manakala bas ekspres hanya diperuntukkan 2,880 liter sebulan.

"Perbezaan ketara ini meletakkan pengendali bas ekspres dalam kedudukan yang kurang adil, memandangkan kebergantungan bas ekspres adalah lebih perjalanan kepada diesel untuk mengekalkan operasi," katanya.

Susulan itu, PBEM mencadangkan harga diesel RM2.15 seliter diterapkan sehingga penyelesaian interim dilaksanakan kepada anggaran 3,300 bas berdaftar dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

"Subsidi diesel bagi pengendali bas ekspres juga perlu disemak dan ditingkatkan sebanyak 15,000 liter sebulan untuk memastikan pengagihan lebih adil, sejajar kegunaan dan peruntukan diberikan.

"Harga tiket kelas ekonomi juga perlu dinaikkan tiga puluh peratus sekiranya kos RM3.35 seliter tidak berubah, memandangkan tiada kenaikan kadar tambang ekonomi siling sejak 2008," ujarnya.

Untuk rekod, harga diesel kini ditetapkan pada kadar RM3.35 mengikut harga pasaran sejak penyasaran subsidi diesel dilaksanakan pada Isnin.

Program penyasaran subsidi itu bertujuan mengurangkan jurang perbezaan antara harga runcit di pam dan harga pasaran diesel di samping mengatasi ketirisan akibat aktiviti penyeludupan serta penggunaan oleh segmen komersial tidak layak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram