Belum dapat kad fleet, penerima SKDS 2.0 boleh mohon bayaran semula mulai 1 Julai


  • Primer
  • Rabu, 12 Jun 2024

Pemilik kenderaan logistik yang diluluskan dan belum menerima kad fleet boleh memohon pembayaran semula bermula pada 1 Julai nanti. — Gambar hiasan/The Star

MEKANISME interim melibatkan pembayaran semula secara tunai kepada pemilik kenderaan logistik yang telah diluluskan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 dibangunkan kepada yang belum menerima kad fleet.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, mekanisme itu merupakan kaedah sementara untuk menampung perbezaan harga antara harga runcit diesel baharu iaitu RM3.35 seliter dan harga SKDS 2.0 sebanyak RM2.15 seliter.

Katanya, kerajaan sedang giat memastikan penyasaran subsidi mencapai objektifnya, terutamanya melibatkan pelaksanaan SKDS 2.0 yang membolehkan kenderaan logistik tertentu kekal memperoleh diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter.

BACA LAGI: Sejuta 'fleet card' disediakan sebelum pelaksanaan kawalan subsidi diesel — Menteri

BACA LAGI: KPDN pertimbang syor perluas jenis kenderaan layak nikmati subsidi diesel

2723760

Interim pembayaran semula bertujuan menampung perbelanjaan tambahan pemohon sehingga menerima kad fleet atau bagi tempoh maksimum dua bulan. — Gambar hiasan/The Star

"Kerajaan mahu pelaksanaan program penyasaran subsidi diesel berjalan dengan lancar dan akan sentiasa memantau perkembangan aktiviti sektor logistik kerana dengan pelaksanaan SKDS 2.0, tiada sebab munasabah untuk mereka bertindak menaikkan harga yang boleh mengesankan rakyat.

"Pembayaran semula secara tunai ini adalah langkah sementara kerajaan untuk terus membantu pembekal perkhidmatan logistik supaya tidak terkesan dengan perubahan harga runcit diesel," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Amir menjelaskan bahawa pemilik kenderaan logistik yang diluluskan dan belum menerima kad fleet boleh memohon pembayaran semula bermula pada 1 Julai depan melalui portal Budi Madani.

Menurutnya, pemohon hendaklah menyimpan resit pembelian diesel untuk tujuan audit.

"Untuk layak menerima pembayaran semula ini, pemilik kenderaan logistik hendaklah membuat permohonan dan mendapat kelulusan daripada KPDN di bawah SKDS 2.0 selewat-lewatnya pada 30 Jun 2024.

"Mekanisme interim pembayaran semula ini bertujuan untuk menampung perbelanjaan tambahan pemohon sehingga menerima kad fleet atau bagi tempoh maksimum dua bulan, mana-mana yang terdahulu.

Justeru, kerajaan menyarankan supaya semua pemilik kenderaan logistik yang telah diluluskan di bawah SKDS 2.0 untuk segera memohon kad fleet secepat mungkin melalui portal https://mysubsidi.kpdn.gov.my. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram