Kerajaan fokus laksana penyasaran subsidi diesel buat masa ini — Amir Hamzah


  • Primer
  • Rabu, 12 Jun 2024

Amir Hamzah berkata ketika ditemui selepas Simposium Sasana di Kuala Lumpur pada Rabu.

KERAJAAN kini memberi tumpuan terhadap pelaksanaan penyasaran subsidi diesel sebelum memutuskan untuk beralih kepada perkara lain yang berkaitan, kata Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

“Kami hanya menumpukan kepada (penyasaran) subsidi diesel buat masa ini dan apabila ada kestabilan, kami akan melihat apa yang boleh dilakukan seterusnya,” kata Menteri Kewangan II itu kepada pemberita selepas menghadiri Simposium Sasana di Kuala Lumpur pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab mengenai persoalan kemungkinan garis masa pelaksanaan penyasaran subsidi bagi bahan api RON95.

BACA LAGI: Nasib 6 MP BERSATU: Tak mustahil diterima kembali jadi calon, singkap sejarah Umno terima semula ahli parti

BACA LAGI: 'MP BERSATU berpaling tadah dihentikan keahlian, bukan lucut' — Saifuddin

Amir Hamzah berkata, reformasi terhadap subsidi diesel tidak boleh dipandang ringan oleh kerajaan dan perlu difikirkan dengan baik.

“Adalah sangat penting untuk memikirkan bagaimana kita boleh melakukan ini dan bagaimana ia akan memberi kesan kepada rakyat.

"Agenda pembaharuan di bawah rangka kerja Madani bertujuan untuk membina masa depan Malaysia dan mengurangkan defisit fiskal supaya kita boleh melabur semula kepada perkara yang penting," katanya.

Amir Hamzah berkata, dasar subsidi bersasar itu dilakukan bagi mengurangkan impak pelaksanaannya terhadap harga barangan pengguna selain mengelakkan kegiatan pencatutan sambil melindungi segmen masyarakat yang berisiko terdedah kepada kenaikan harga.

Menurutnya, sejak sekian lama, negara dihantui dengan isu ketirisan subsidi berpunca daripada penyeludupan produk petroleum dan subsidi yang dinikmati oleh sektor tidak layak.

Petrol prices being displayed at an digital board outside petrol station. The government planning to implement a price control programme on  RON95 petrol, diesel and LPG, which is expected to involve subsidies of RM6bil this year. — YAP CHEE HONG/The Star

Kerajaan mengumumkan harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia ditetapkan pada RM3.35 seliter berkuat kuasa 10 Jun lalu di bawah sistem subsidi bersasar. — Gambar hiasan

Dalam pada itu, Amir Hamzah memaklumkan terdapat penurunan dalam pembelian diesel di stesen minyak yang terletak di sempadan negara berikutan pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel.

Ujarnya, perkembangan itu memberi gambaran berhubung kejayaan inisiatif tersebut.

Beliau berkata, kerajaan juga mahu membantu sektor sensitif yang menggunakan diesel dan meminta mereka yang belum memohon Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 berbuat demikian.

"Pengendali kenderaan awam seperti bas sekolah, ambulans dan lain-lain tetap akan menerima subsidi. Kami melakukan ini untuk mengawal kesan keseluruhan," tambahnya.

Beliau pada masa sama menjelaskan sekiranya mereka yang mempunyai SKDS 2.0 sudah mencapai kuota, kerajaan bersedia untuk mengadakan perbincangan lanjut mengenainya.

“Mana-mana sektor yang layak mendapat subsidi dan telah mencapai hadnya boleh berbincang dengan kerajaan. Jika ada data yang mencukupi untuk menunjukkan perkara ini, kita boleh membantu mereka,” katanya.

Kerajaan mengumumkan harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia ditetapkan pada RM3.35 seliter berkuat kuasa 10 Jun lalu di bawah sistem subsidi bersasar.

SKDS ialah platform khusus untuk kenderaan awam dan barangan terpilih untuk terus menerima subsidi diesel melalui fleet card. — Majoriti/LYDIA NATHAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram