Adik hilang tiba-tiba ketika pulang kerja, kakak dakwa AADK tak ikut SOP waktu buat penahanan


  • Tular
  • Rabu, 12 Jun 2024

Kecederaan calar (gambar kiri) di pergelangan tangan lelaki tersebut dipercayai akibat digari ketika ditahan.

SEORANG kakak melahirkan kekesalan selepas adik lelakinya didakwa ditahan oleh anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) tanpa mengikut prosedur yang sepatutnya.

Perkara itu dikongsikan oleh seorang pengguna laman X, syaidailmuna, pada Rabu.

Menurut perkongsian tersebut wanita terbabit memaklumkan adiknya dipercayai ditahan ketika sedang dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di sekitar Kuala Lumpur.

BACA LAGI: Nasib 6 MP BERSATU: Tak mustahil diterima kembali jadi calon, singkap sejarah Umno terima semula ahli parti

BACA LAGI: 'MP BERSATU berpaling tadah dihentikan keahlian, bukan lucut' — Saifuddin

"Adik saya dalam perjalanan pulang dari tempat kerja tiba-tiba didatangi dua individu, dipercayai pegawai AADK meminta dia mengeluarkan IC (kad pengenalan). Mind you, mereka tidak memperkenalkan diri dan berpakaian preman (orang biasa).

"Adik saya cedera di tangan ketika bergelut dan dimasukkan ke dalam van. Dia dibawa ke lokap AADK di Cheras. Di sana mereka tak bagi dia hubungi keluarga dan duduk bercampur dengan penagih dalam satu sel," katanya.

Perkongsian terbabit turut berkongsikan foto memaparkan kecederaan kesan calar di pergelangan tangan adiknya.

Menurut wanita itu, adiknya bagaimanapun kemudiannya dilepaskan bersama empat lagi individu pada pagi Rabu apabila ujian air kencing yang dilakukan mendapati dia bebas daripada sebarang bahan terlarang.

"Perbuatan ini bagi saya sangatlah kejam sebab memberi kerisauan keluarga. Sebaiknya beri kelonggaran untuk maklum kepada keluarga. Bila jadi macam ni, keluarga tak tahu nak cari siapa dan di mana," ujarnya.

Screenshot 2024-06-12 151714

Tangkap layar perkongsian @syaidailmuna mengenai insiden itu pada Rabu.

Pada masa sama, @syaidailmuna berkata, adiknya mengalami trauma akibat insiden terbabit yang didakwanya melanggar prosedur operasi standard (SOP) penguatkuasaan oleh AADK berhubung isu pemakluman kepada keluarga.

Menerusi dokumen Prosedur Penahanan Di Bawah Seksyen 3 Akta Penagih Dadah (R&P) yang dikongsikan @syaidailmuna, ia menyatakan bahawa pegawai agensi hendaklah memaklumkan kepada keluarga Orang Yang Disyaki (OYDS) dalam tempoh 24 jam.

"Sebagai tambahan, mereka hanya memperkenalkan diri masa dah gari adik saya. Terlalu lambat untuk melakukan apa-apa. Adik saya panik dan takut sebab dia ingat pencuri ke apa tiba-tiba datang dekat dia sebab tu dia nak lari.

"Mereka bagi alasan tangkap sebab adik saya nampak mencurigakan. Like??? Orang nak balik kerja pula masa itu," katanya.

Difahamkan, AADK bakal mengeluarkan kenyataan dalam waktu terdekat berhubung insiden tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram