SEORANG lelaki warga tempatan maut ketika menjalankan kerja-kerja mencuci paip yang tersumbat dalam kolam fiber kertas di sebuah kilang pembuatan kotak dekat George Town, Pulau Pinang pada Isnin.
Kejadian berlaku ketika mangsa berusia 41 tahun itu dikatakan turun berseorangan untuk mencuci paip tersumbat di dalam kolam terbabit yang difahamkan tertangguh selama hampir dua minggu.
Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang, Hairozie Asri berkata, mangsa dilaporkan gagal dikesan sebelum penyelia bersama beberapa pekerja mencarinya.
BACA LAGI: Suspek kes tembak di KLIA ditahan polis di Kelantan, kereta dipandu bukan milik Hafizul Harawi
Beliau berkata, semakan kamera litar tertutup (CCTV) kemudian menunjukkan mangsa masuk ke kolam terbabit kira-kira pukul 3.38 petang Isnin.
"Pada pukul 10.40 malam, mangsa dijumpai namun sudah meninggal dunia. Susulan itu sepasukan pegawai penyiasat dari JKKP ke lokasi bagi menjalankan siasatan," katanya melalui kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, pihaknya mengeluarkan notis pemberhentian kerja serta-merta di kawasan kejadian di kilang itu sehingga siasatan selesai.
Majikan juga diarah melakukan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian dan langkah penambahbaikan serta membuat pembentangan kes kepada JKKP Pulau Pinang.
JKKP Pulau Pinang akan menjalankan siasatan susulan dengan mendapatkan dokumen berkaitan, merakam percakapan saksi dikenal pasti dan mengadakan lawatan susulan ke premis majikan selepas tindakan penambahbaikan serta pencegahan diambil. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram