Pesawat 'bersepai' akibat terhempas, Naib Presiden Malawi antara 9 penumpang disahkan terkorban


  • Benua
  • Selasa, 11 Jun 2024

Naib Presiden Malawi, Saulos Chilima dilaporkan maut selepas pesawat dinaiki terhempas pada awal pagi Isnin. — Agensi

NAIB Presiden Malawi, Saulos Chilima disahkan maut selepas pesawat dinaikinya terhempas dan ditemui tanpa seorang pun terselamat pada Selasa.

Chilima dan sembilan penumpang yang lain dikesan hilang selepas pesawat berkenaan dilaporkan hilang dari radar ketika terbang dalam cuaca buruk.

Menerusi laporan media antarabangsa pada Selasa, Chakwera berkata, komander Angkatan Pertahanan Malawi memaklumkan kepadanya bahawa operasi mencari dan menyelamat telah selesai dan pesawat itu berjaya ditemukan.

“Saya berasa sedih dan dukacita untuk memberitahu seluruh rakyat Malawi mengenai tragedi dahsyat ini,” katanya sambil menambah, pasukan penyelamat mendapati pesawat tersebut musnah sepenuhnya.

Chilima, 51, ketika kejadian dalam penerbangan bagi menghadiri majlis pengebumian bekas menteri, Ralph Kasambara yang dilaporkan meninggal dunia pada Jumaat.

Bekas wanita pertama Malawi, Shanil Dzimbiri turut berada dalam pesawat itu yang berlepas dari ibu negara, Lilongwe, pada pagi Isnin.

Penerbangan itu sepatutnya dijadual mendarat di lapangan terbang bandar Utara Mzuzu, tetapi terpaksa berpatah balik akibat jarak penglihatan yang terhad. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram