SELEPAS melarikan lebih daripada 36 jam, akhirnya suspek lelaki, Hafizul Harawi, 38, yang disyaki melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang ditahan polis pada Isnin.
Mengesahkan penangkapan suspek, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan suspek ditahan sekitar pukul 2.30 petang di Kelantan.
"Suspek baru ditangkap di Kota Bharu, Kelantan pada sebelum pukul 3 petang tadi (Isnin).
BACA LAGI: [VIDEO] Insiden berdarah KLIA: Suami ada 2 rekod jenayah lampau, hubungan bermasalah sejak 2016
"Saya belum ada maklumat lengkap tetapi suspek ditahan di sebuah rumah sewa di Kelantan," katanya.
Katanya, satu sidang media akan diadakan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman atau Ketua Polis Negeri dalam masa terdekat.
Sementara itu, dalam perkembangan berbeza, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan kereta Honda City berwarna putih dinaiki suspek dibeli daripada seorang individu.
Katanya, kenderaan terbabit bukan didaftarkan atas nama suspek sebaliknya nama pemilik asal itu kerana dibeli secara sambung bayar.
“Dalam masa sama, kita juga sudah merakam keterangan saksi termasuk isteri suspek bagi membantu siasatan,” katanya pada Isnin
Pada Ahad, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, polis juga sudah mengenal pasti kenderaan dinaiki suspek dengan nombor pendaftaran WXU5666.— The Star/JUSTIN ZACK
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram