Najib cuba sekat siasatan SPRM terhadap 1MDB


Najib didakwa cuba menyekat siasatan SPRM terhadap syarikat 1MDB.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur diberitahu bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak telah cuba menyekat siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pegawai Penyiasat SPRM Penguasa Kanan, Nur Aida Ariffin, 37, berkata, Najib telah mengarahkan beberapa tindakan yang didakwa dilakukan untuk menyekat siasatan agensi antirasuah itu semasa beliau memegang jawatan sebagai Perdana Menteri (PM) termasuk menutup kes berhubung 1MDB.

Beliau berkata demikian ketika disoal balas peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib semasa perbicaraan bekas Ahli Parlimen Pekan itu berhubung penyelewengan dana 1MDB berjumlah RM2.3 billion.

BACA LAGI: MB Pahang fail afidavit sokong permohonan Najib isu tahanan rumah

BACA LAGI: Saman AS$346 juta 1MDB: Rosmah Mansor perlu fail pernyataan pembelaan sebelum 4 Julai

Bagaimanapun, Muhammad Shafee berkata, Nur Aida tidak mempunyai sebarang bukti untuk menunjukkan Najib mengeluarkan arahan-arahan tersebut.

Muhammad Shafee: Setuju atau tidak semasa siasatan oleh polis dan SPRM (terhadap 1MDB) tiada sekatan daripada Najib?

Nur Aida: Untuk SPRM, ada sekatan. Contoh tindakan yang diambil semasa Datuk Seri Najib menjadi PM antaranya menukar Ketua Pesuruhjaya SPRM, membuat tangkapan ke atas pegawai SPRM dan akhir sekali, Tan Sri Mohamed Apandi Ali (bekas Peguam Negara) menutup kes itu walaupun SPRM mengesyorkan tindakan selanjutnya.

Muhammad Shafee: Mari kita lalui ini satu-persatu. Saya akan tunjukkan ini hanyalah tanggapan salah kamu. Kamu katakan arahan untuk Mohamed Apandi tutup kes Tiada Tindakan Lanjut (NFA) datang daripada Najib?

Nur Aida: Berdasarkan nota-nota dirampas daripada Datuk Amhari Efendi Nazaruddin (bekas pegawai khas Najib), ada dokumen iaitu nota percakapan yang disediakan oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho (Jho Low) berhubung penutupan kes.

Nur Aida berkata, Amhari Efendi semasa disoal siasat memaklumkan nota itu disediakan oleh Jho Low berdasarkan arahan Najib dan perkara yang dinyatakan dalam nota percakapan tersebut akhirnya berlaku.

KUALA LUMPUR, 27 Jan -- Peguam Tan Sri Mohammad Shafee Abdullah hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini bagi sambungan perbicaraan berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi Datuk Seri Najib Tun Razak.Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Muhammad Shafee.

Bagaimanapun, Muhammad Shafee berkata, perkara itu hanyalah andaian Nur Aida semata-mata kerana saksi berkenaan tiada bukti atau keterangan langsung yang membuktikan arahan tersebut adalah daripada Najib.

Muhammad Shafee: Soalan saya, kamu tiada bukti yang mengatakan ini arahan terus daripada Najib.

Nur Aida: Amhari Efendi pegawai khas Datuk Seri Najib. Bagi saya keterangan itu cukup, semua dalam nota itu (yang SPRM rampas daripada Amhari Efendi) dan antara perkara yang dikatakan dalam nota itu adalah pertukaran Ketua Pesuruhjaya selain siasatan kes perlu ditutup.

Muhammad Shafee: Kamu seorang pegawai penyiasat, kamu bercakap seperti berada di kedai kopi.

Nur Aida: Ini bukan kedai kopi Tan Sri, arahan secara langsung memang tidak ada tetapi berdasarkan siasatan secara menyeluruh, perkara itu memang berlaku.

Pada peringkat ini, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata memandangkan Nur Aida tetap dengan pendiriannya, Muhammad Shafee boleh membangkitkan perkara itu dalam hujahannya nanti.

Najib, 70, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan bersambung pada Rabu. — The Star/NURBAITI HAMDAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram