Harga diesel RM3.35 mulai tengah malam Isnin


  • Primer
  • Ahad, 09 Jun 2024

Amir Hamzah ketika sidang media di Putrajaya pada Ahad.

PENYASARAN subsidi diesel akan bermula tepat 12 tengah malam Isnin, demikian umum Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata, dengan langkah tersebut, harga diesel ditetapkan pada kadar RM3.35 mengikut harga pasaran.

Beliau berkata demikian dalam sidang media penyasaran subsidi diesel di Putrajaya pada Ahad.

BACA LAGI: Subsidi diesel: Kumpulan pertama Budi Madani terima bayaran 10 Jun

BACA LAGI: Syarikat bas, pembinaan jamin rasionalisasi subsidi diesel bukan alasan naikkan harga

“Dengan mekanisme bantuan bersasar yang telah tersedia, kerajaan kini sudah bersedia melaraskan harga diesel bagi semua negeri di seluruh Semenanjung Malaysia.

“Bermula pada tengah malam Isnin, 10 Jun 2024, harga diesel di semua stesen runcit petrol di Semenanjung Malaysia akan ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter iaitu mengikut harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula ‘Automatic Pricing Mechanism’,” katanya dalam sidang media penyasaran subsidi diesel di Putrajaya pada Ahad.

Amir Hamzah berkata, untuk tempoh seterusnya, harga diesel semasa akan diumumkan pada setiap minggu, mengikut amalan semasa Kementerian Kewangan.

Dalam pada itu, beliau berkata, dengan penetapan harga dan pelaksanaan subsidi bersasar ini, Kerajaan menjangkakan pengurangan serta-merta kerugian daripada aktiviti ketirisan yang boleh membawa kepada penjimatan sebanyak RM4 billion setahun.

Katanya, penjimatan yang diperoleh kerajaan daripada langkah penting ini akan memastikan terdapat lebih banyak sumber untuk disalurkan ke dalam sektor kritikal lain yang secara langsung akan meningkatkan kualiti hidup rakyat, termasuk infrastruktur awam, penjagaan kesihatan dan pendidikan

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan rakyat Malaysia yang layak untuk memohon bantuan tunai Budi Madani yang disediakan kerajaan.

“Saya ingin tegaskan bahawa apa yang dilakukan Kerajaan hari ini adalah menyasarkan semula subsidi untuk golongan yang benar- benar layak sahaja.

Kita mahu menghentikan ketirisan yang amat merugikan rakyat dan negara,” ujarnya.

Dengan pelaksanaan rasionalisasi diesel, kerajaan kini menyalurkan bantuan secara bersasar melalui dua kaedah membabitkan subsidi harga runcit di stesen minyak kepada 23 jenis pengangkutan awam dan barangan menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Kaedah kedua pula menerusi subsidi bantuan tunai RM200 kepada isi rumah yang menggunakan kenderaan diesel bagi kategori individu dan agri-komoditi melalui Program Bantuan Subsidi Madani (Budi Madani).

Program penyasaran subsidi itu bertujuan mengurangkan jurang perbezaan antara harga runcit di pam dan harga pasaran diesel di samping mengatasi ketirisan akibat aktiviti penyeludupan serta penggunaan oleh segmen komersial tidak layak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram