Ustaz Don tak langgar prinsip Ahli Sunnah Wal Jamaah tapi ungkapan '1st love' kurang sesuai — Majlis Akademi Islami


  • Massa
  • Isnin, 10 Jun 2024

Ustaz Don menimbulkan kontroversi kerana didakwa menggunakan hadis tidak sahih berkaitan dengan kisah hidup Nabi Muhammad SAW. — Ustaz Don Daniyal Don Biyajid

BARU-baru ini, negara dikecohkan dengan kontroversi melibatkan pendakwah bebas terkenal, Ustaz Don Daniyal Don Bijayid selepas beliau dikatakan mengguna pakai hadis diragui ketika bersiaran langsung dalam satu program Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Tindakannya itu mencetuskan pertikaian di media sosial dengan terdapat beberapa pihak yang tampil mengkritiknya kerana menggunakan hadis tidak sahih berkaitan dengan kisah hidup Nabi Muhammad SAW.

Menerusi program musim ibadah haji, Salam Baitullah terbitan RTM, Ustaz Don mendakwa Rasulullah pernah melamar Ummu Hani sebanyak tiga kali dan wanita itu merupakan cinta pertama Baginda.

BACA LAGI: 'MP BERSATU berpaling tadah dihentikan keahlian, bukan lucut' — Saifuddin

BACA LAGI: Membazir RM36 juta duit rakyat jika 6 PRK Parlimen diadakan

Ekoran daripada kontroversi tercetus, RTM pada Rabu memaklumkan pihaknya mengambil keputusan merehatkannya pendakwah tersebut daripada menjadi juruacara program tersebut.

Dalam pada itu, Majlis Akademik Islami dalam satu kenyataan tampil berkongsikan pandangan dan penjelasan berhubung isu berkenaan.

Dalam satu kenyataan, ia berkata, dalam isu tersebut, Ustaz Don Daniyal dilihat tidak melakukan perkara bertentangan dengan syarat tauliah meliputi hal melanggar prinsip utama dalam Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Malah, ujarnya, Ustaz Don setakat ini masih memegang tauliah di beberapa buah negeri antaranya Wilayah Persekutuan, Perak dan Selangor.

"Masyarakat awam dinasihatkan tidak mudah untuk mengulas dan membawa pelbagai spekulasi mengenai perkara ini sehingga menimbulkan kritikan yang tidak ilmiah serta dilihat kurang beradab di dalam perkara-perkara keilmuan seperti ini.

"Melihat kepada masa peminangan pertama itu berlaku, tidak terlampau jauh, sekiranya dianggapkan itu adalah wanita pertama yang menarik hati Rasulullah SAW untuk diambil menjadi isteri.

"Namun ungkapan 'first love' yang disebut oleh beliau dirasakan kurang sesuai, lantas memberi gambaran tidak enak atau tidak menyenangkan kepada mereka yang mendengarnya," ujarnya kenyataan bersama itu yang melibatkan kira-kira 23 ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Susulan daripada itu, kenyataan itu meminta pendakwah supaya bersikap lebih berhati-hati dalam tutur kata serta memilih istilah yang tepat dan sesuai, supaya apa yang dilafaz tidak mudah disalah ertikan oleh orang yang mendengar.

Pada masa sama, Majlis Akademik Islami mengingatkan semua pihak agar tidak melakukan cercaan atau makian terhadap pendakwah dalam isu sedemikian kerana ketidaktepatan pemilihan perkataan digunakan tidaklah membawa kepada kerosakan iman.

"Tanpa menafikan andaian wujudnya kesilapan isu cabang 'ijtihadi' dalam penyampaian kalangan pendakwah agamawan, ia amat tidak wajar dieksploitasi atau diambil kesempatan oleh kalangan mereka yang berkepentingan untuk melakukan 'character assassination' (pembunuhan watak) dan melumpuhkan karier dakwah pendakwah agamawan tertentu.

"Isu ini sewajarnya ditangani melalui mekanisme konstruktif secara lebih berhemah dalam kalangan agamawan dan pihak berautoriti agama, bukan melalui platform media sosial yang mendedahkan kritikan terbuka oleh masyarakat awam sehingga ke tahap mencaci tanpa adab.

"Mana-mana pihak tidak sepatutnya tunduk pada desakan netizen lebih-lebih lagi yang menggunakan akaun palsu bagi menjadikannya satu isu yang kontroversi, termasuk juga desakan dari mana-mana pihak yang bukan autoriti agama dengan kepentingan tertentu," ujarnya.

Menyentuh mengenai kisah pinangan Rasulullah SAW yang dikongsikan Ustaz Don, Majlis Akademik Islami berkata, ia merupakan kisah yang diriwayatkan Muhammad bin Al-Sa`ib dan disebut dalam beberapa kitab sejarah.

Jelasnya, dalam kalangan ulama antaranya termasuk al-Imam al-Nawawi juga berpendapat adalah harus untuk mengambil pendapat yang lemah selagi mana ia bukan berkaitan dengan perkara hukum dan akidah.

406937607_893935032103085_6754695064385878142_n

Ustaz Don dilanda kontroversi baru-baru ini kerana didakwa menggunakan hadis tidak sahih berkaitan dengan kisah hidup Nabi Muhammad SAW. — Ustaz Don Daniyal Don Biyajid

"Periwayatan kisah dan sirah Nabi dari sumber yang diragui atau lemah bukanlah satu perkara baharu dan menjadi satu isu perlu diperbesarkan. Hal ini telah termaktub dalam diskusi, kitab serta artikel-artikel ilmiah.

"Bahkan Syaikh Dr Saeed al-Kamali dari Maghribi menegaskan bahawa periwayatan sirah Nabi SAW tidaklah seketat hadis dari kitab Sunan kerana ia lebih kepada motivasi, gambaran sejarah dan tidak digunakan untuk penetapan hukum hakam halal dan haram.

"Oleh itu tidak menjadi kesalahan untuk meriwayatkan hadis yang lemah sekalipun dalam konteks sirah ini, lebih-lebih lagi Ustaz Don Daniyal hanya menceritakan apa yang termaktub dalam kitab rujukan beliau," kata kenyataan itu.

Mengulas lanjut, ia berkata, pendekatan penilaian sesuatu sumber dalam periwayatan sirah dan kisah adalah sesuatu yang perlu dibezakan dengan menilai sumber bagi sesuatu perkara yang berkaitan dengan akidah dan hukum.

Tambahnya, kisah terbabit juga dilihat tidak merendahkan kedudukan Nabi Muhammad SAW sebagai seorang utusan Allah yang mulia, apatah lagi ia juga berlaku sebelum kenabian Baginda.

Khamis lalu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dilapor akan memanggil Ustaz Don bagi mendapatkan perincian berhubung kontroversi dikaitkan dengan penceramah itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram