'Ustaz Don juruacara Salam Baitullah, bukannya penganalisis atau penceramah'


  • Massa
  • Rabu, 05 Jun 2024

Ustaz Don 'direhatkan' daripada muncul di kaca televisyen dalam rancangan Salam Baitullah ekoran beberapa kontroversi yang terpalit dengan dirinya. — Facebook

PENDAKWAH terkenal, Ustaz Don Daniyal 'direhatkan’ daripada program musim ibadah haji, Salam Baitullah ekoran beberapa kontroversi yang terpalit dengan dirinya baru-baru ini.

Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman berkata, Ustaz Don atau nama sebenarnya Don Daniyal Don Biyajid, 40, dilakukan sedemikian untuk meredakan keadaan yang tegang di media sosial.

"Untuk meredakan keadaan, saya sudah arahkan team Salam Baitullah untuk ‘rehatkan’ dulu Ustaz Don. Jangan tanya apa saya rasa dan fikir," tulisnya dalam ciapan Twitter (X) pada Rabu.

BACA LAGI: Anak Hamzah Zainudin mengaku tak bersalah terima rasuah RM100,000

BACA LAGI: Kontena ZIM bawa muatan ayam sejuk beku dari sempadan Malaysia-Thailand diarah patah balik

Screenshot (1893)

Ustaz Don (dua dari kanan) sebagai pengacara program televisyen tersebut. — RTM

Suhaimi bagaimanapun berkata, tugas Ustaz Don dalam rancangan tersebut adalah sebagai juruacara dan bukannya penganalisis atau penceramah.

Katanya, Ustaz Don juga akur selepas dinasihatkan agar tidak mengundang kontroversi.

"Pimpinan tertinggi barisan pengarang juga ada di lokasi menentukan semua juruacara mengikut skrip. Kita doakan yang baik-baik

"Kebijaksanaan dan intelektual dalam kalangan orang kita mungkin masih jauh. Yang penting nampak tegas dan belasah. Begitulah," jelasnya.

Dalam pada itu, Suhaimi turut berpesan kepada orang ramai agar mengadakan perbincangan secara terbuka dan sopan.

Suhaimi juga berkata, kebanyakan pengguna media sosial kurang menghormati pandangan orang lain sama ada perkara itu betul atau pun tidak.

Screenshot (1892)

Ciapan yang dimuat naik Suhaimi pada Rabu. — Twitter

Sebelum ini, warga Facebook kecoh apabila seorang Pensyarah kanan Jabatan Pengajian al-Quran dan As-Sunnah, Universiti Islam Malaysia membuat teguran terbuka kepada pendakwah terbabit.

Pensyarah tersebut mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dengan dakwah yang diberikan oleh ustaz selebriti itu kerana didakwa menyebarkan cerita serta hadith palsu.

Bukan itu sahaja, ada juga yang mendakwa bahawa Ustaz Don sering berkongsi kisah-kisah palsu dengan menggunakan nama Nabi Muhammad SAW.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan kemudiannya mengatakan penceritaan pendakwah itu dianggap lemah dan hadis yang digunakan adalah tidak bersumber berhubung hadis riwayat cinta pertama Rasulullah SAW berkaitan kisah Ummu Hani.

Namun, perkara itu tetap dinafikan oleh Ustaz Don kerana menganggap bahan bacaan yang digunakannya adalah sahih. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram