Pendosa lebih berhak buru Lailatul Qadar


  • Mukmin
  • Rabu, 27 Apr 2022

Rasulullah menganjurkan umat Muslim untuk memperbanyakkan membaca doa lailatul qadar.

MASIH belum terlambat untuk seseorang Muslim merebut malam Lailatul Qadar dengan menggandakan amalan demi mendapatkan ganjaran pahala melipatkan pada Ramadan kali ini.

Antara amalan yang boleh dilakukan oleh umat Islam semasa memburu malam Lailatul Qadar ialah melakukan solat Tarawih, membaca Al-Quran, berzikir, solat Qiamullail, solat Hajat, melakukan sedekah dan berdoa kepada ALLAH SWT.

baca quran

Membaca Al-Quran antara amalan ketika memburu malam Lailatul Qadar.

Namun, dalam memburu malam yang penuh keberkatan itu ada juga segelintir umat Islam mempersoalkan adakah seorang pendosa yang banyak membuat kejahatan layak untuk bertemu Lailatul Qadar.

Pendakwah bebas, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid berkata, orang yang banyak melakukan perkara jahatlah golongan yang sangat sesuai untuk berdoa pada malam Lailatul Qadar agar ALLAH mengampunkan dosa-dosanya.

"Apabila berlakunya peristiwa tertentu ataupun bukan peristiwa tertentu. Bila kita rasa 'ALLAH nak tak terima aku sebab aku berdosa', jawapannya ialah orang berdosa macam kitalah yang mengharapkan mustajab doa untuk ALLAH ampun dosa kita.

"Kita lebih berhak mustajab doa Ramadan, kita lebih berhak kepada Tahajud. Kita berhak kepada membaca doa Lailatul Qadar sebab kita tahu kita berdosa. Orang macam kita lebih berhak kepada benda itu daripada orang lain," katanya di laman TikTok peribadinya.

Malah, dia turut berkongsi doa Lailatul Qadar yang dianjurkan oleh Rasullullah SAW iaitu 'Allahumma Innaka ‘Afuwwun Tuhibbul ‘Afwa Fa’fu ‘Annii' yang bermaksud: 'Ya ALLAH, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan amat suka akan keampunan, maka berikanlah keampunan kepadaku.

Dalam pada itu, seorang muslim itu jangan pernah berputus asa dengan rahmat ALLAH sekalipun dia seorang pendosa tegar.

Firman ALLAH Ta’ala: “Katakanlah: “Hai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat ALLAH. Sesungguhnya ALLAH mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan kembalilah kamu kepada Tuhanmu, dan berserah dirilah kepada-Nya sebelum datang azab kepadamu kemudian kamu tidak dapat ditolong (lagi),” (Az Zumar {39} : 53-54). Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram