Gabung selawat dengan lagu Cindai, mufti ulas nyanyian Ustaz Don dan Siti Nurhaliza


  • Massa
  • Sabtu, 06 Apr 2024

Video tular memaparkan nyanyian selawat seorang pendakwah popular bersama Siti Nurhaliza yang tersebar di media sosial baru-baru ini.

ISLAM tidak melarang untuk selawat dilagukan dengan muzik termasuk lagu-lagu popular masa kini.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, perkara itu dibenarkan selagi ia tidak melekakan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai sebuah video tular memaparkan nyanyian selawat seorang pendakwah popular bersama penyanyi tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang tersebar di media sosial baru-baru ini.

"Dia sebenarnya isu yang pokok adalah sama ada boleh ke tidak untuk bermuzik. Jadi ada pendapat kata muzik tak boleh, ada juga pendapat kata muzik boleh selagi ia tidak melekakan.

"Jadi sekarang saya rasa tak berbangkitlah (bukan isu) kalau selawat ini dia tidak pergi sehingga meleka-lekakan," katanya ketika dihubungi Majoriti.

BACA LAGI: 'Dah jadi trademark', sikap buang sampah sepanjang Lebuhraya KL-Gua Musang masih tak berubah

BACA LAGI: Umno Selangor perlukan pemimpin seperti KJ untuk 'comeback'

Menerusi video tular tersebut, pendakwah terbabit, Ustaz Don Daniyal dilihat melagukan selawat dengan menggunakan lagu Cindai nyanyian Siti Nurhaliza.

Dalam pada itu, Mohamad Shukri menambah, dari segi prinsip Islam, amalan selawat merupakan satu ibadah.

"Jadi buatlah sesuatu mengikut cara ibadah. Jangan terkeluar daripada garis ibadah. Kalau nak jadi adat pun, biarlah ibadah itu tidak berlawanan dengan syarak," ujarnya.

Sementara itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, adalah tidak salah untuk berselawat dengan berlagu seperti diperdengarkan di media sosial dan juga platform media popular yang lain.

Malah, beliau berkata, amalan itu juga digalakkan sekiranya ia dapat membantu ke arah memperbanyakkan selawat atau untuk mengelak perasaan malas atau kepudaran semangat untuk berselawat.

"Para ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah bersepakat hukum selawat ke atas Nabi Muhammad SAW adalah sunat muakkad yang tidak harus ditinggalkan oleh orang beriman.

"Antara lain, selawat boleh menjadi sebab diangkat darjat seseorang di sisi Allah SWT serta dikabulkan doanya. Ia juga menjadi sebab untuk mendapat syafaat Baginda pada hari kiamat, mendapat rahmat dan keampunan ALLAH SWT," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram