Tuntutan Sarawak berlandaskan MA63, tak cabar sistem Persekutuan — Fazzrudin


  • Primer
  • Isnin, 10 Jun 2024

Tuntutan daripada Sarawak tidak seharusnya menimbulkan cabaran terhadap sistem Persekutuan. — Gambar hiasan

PERMINTAAN dan tuntutan daripada Sarawak tidak seharusnya menimbulkan cabaran terhadap sistem Persekutuan kerana ia selaras dengan hak-hak di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman menjelaskan bahawa apa yang dituntut Sabah dan Sarawak selama ini juga bukanlah perkara baharu.

Fazzrudin berkata, ia diperkukuhkan lagi dengan adanya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang diperjuangkan melalui diplomasi dan perundingan baik dan harmoni di antara kedua-dua Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

BACA LAGI: Cadangan naik harga siling beras putih muktamad sebelum Oktober

BACA LAGI: 'Ada 'perkara hebat' sedang terjadi di Selatan', Tun M jangka 40,000 penumpang guna RTS Link Johor-Singapura tidak lama lagi

2010806

Fazzrudin menjelaskan bahawa perkara itu tidak seharusnya menjadi isu. — The Star

Katanya demikian menjawab kepada kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim pada Isnin yang bertajuk ‘ujian dan cabaran terhadap kelangsungan sistem persekutuan di Malaysia’.

Beliau berkata, kenyataan tersebut ada menyatakan berhubung tindakan-tindakan Sarawak yang beliau katakan sebagai mencabar kuasa Kerajaan Persekutuan.

"Apatah lagi tuntutan-tuntutan tersebut adalah berdasar dan berlandaskan kepada apa yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963, yang merupakan perjanjian yang dimeterai bagi penubuhan Malaysia.

"Tanpa perjanjian tersebut tidak mungkin wujudnya sebuah negara bernama Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau menjelaskan, perjanjian tersebut telah dirujuk sebagai instrumen di dalam Perlembagaan Persekutuan.

2326092

Hassan Abdul Karim. — The Star

Ia sekali gus membuktikan betapa pentingnya perjanjian itu untuk menentukan hak dan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.

"Semua perkara yang dituntut adalah hak yang sewajarnya berdasarkan perjanjian asal dan Perlembagaan Persekutuan. Seperti yang pernah ditegaskan oleh arwah Pehin Sri Adenen Satem sebelum ini iaitu no more, no less.

"Soal minyak dan penubuhan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) perkara ini juga adalah berlandaskan kepada undang-undang yang ada pada Sarawak seperti Oil Mining Ordinance 1958 dan Distribution of Gas Ordinance 2016.

"Maka, tuntutan berkaitan dengannya adalah hak Sarawak yang sah di sisi undang-undang. Begitu juga dalam soal pendidikan dan penggunaan bahasa Inggeris di Sarawak. Perkara ini sudahpun termaktub dalam Perenggan 17 InterGovernmental Committee Report (IGC) 1962 sejak dari dulu lagi," tambahnya.

Jelasnya lagi, ia membuktikan keupayaan Kerajaan Persekutuan untuk bekerjasama dengan baik bersama Kerajaan Negeri dan bukanlah kelemahan.

Justeru, katanya, tiada keresahan timbul mengenai wujudnya cabaran-cabaran ini dan kemampuan untuk berkolaborasi dan menyelesaikan isu-isu serta bukan sahaja permintaan dari Sarawak dan Sabah adalah bukti keberhasilan sistem federalisme dan hubungan baik di antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri.

"Keberanian Sarawak untuk bersuara dalam menuntut hak mereka sebenarnya dipengaruhi oleh sikap terbuka pihak Kerajaan Persekutuan dalam mendengar isu-isu Kerajaan Negeri, yang berbeza dengan sebelum ini, bukanlah kerana kelemahan Kerajaan Persekutuan seperti yang dinyatakan Hassan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram