CADANGAN menaikkan harga siling beras putih tempatan akan dimuktamadkan sebelum Oktober, kata Datuk Seri Mohamad Sabu.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) itu berkata, perbincangan berhubung cadangan tersebut masih diteruskan antara kementerian lain.
"Sekarang masih di peringkat perbincangan dan akan menuju ke penyelesaian terakhir. Dimuktamadkan sebelum Oktober Insya-ALLAH.
"Sebarang perubahan harga dan sebagainya, ia membabitkan perbincangan empat ke lima kementerian," katanya ketika Majlis Peluncuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor pada Isnin.
BACA LAGI: PM Anwar sumbang RM40,000 kepada waris mangsa nahas rombongan cikgu di Rompin
Mohamad Sabu ketika menghadiri MAHA 2024 di Serdang, Selangor pada Isnin. — The Star
Pada Jumaat lalu, beliau berkata, semua pihak berkaitan masih membincangkan cadangan menaikkan harga siling beras putih tempatan (BPT) sebelum keputusan dibuat dalam masa terdekat ini.
Pada November 2023, Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras MAFS mendapati, harga siling beras putih tempatan perlu dinaikkan kepada RM3.20 sekilogram berbanding RM2.60 sekilogram sekarang.
Langkah itu juga akan melindungi nasib semua pihak dalam rantaian pengeluaran makanan khususnya pesawah padi di negara ini. — The Star/TEH ATHIRA YUSOF DAN M.IRSYAD
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram