Nota 'SOS' selamatkan pembantu rumah dikurung di balkoni, tak dibayar gaji di Petaling Jaya


  • 112
  • Isnin, 10 Jun 2024

Pihak berkuasa berjaya menyelamatkan mangsa yang dikurung dan tidak dibayar gaji oleh majikannya di sebuah kondominium di Petaling Jaya, Selangor. — The Star

SEORANG pembantu rumah warga Indonesia terpaksa meminta bantuan melalui sekeping nota apabila dikurung di balkoni sebuah kondominium di Petaling Jaya, Selangor.

Wanita berusia 21 tahun itu bagaimanapun bernasib baik selepas berjaya diselamatkan kira-kira pukul 5 petang Ahad.

Detik hitamnya juga berakhir apabila sepasukan pegawai dan anggota Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menyerbu sebuah unit kondominium di Mutiara Damansara, Petaling Jaya pada hari berkenaan.

BACA LAGI: Subsidi diesel: Inflasi dijangka lebih 2 peratus, kenaikan harga tidak jejas belanja asas rakyat — Pakar

BACA LAGI: 'MP BERSATU berpaling tadah dihentikan keahlian, bukan lucut' — Saifuddin

Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, siasatan mendapati mangsa dipercayai baru bekerja dengan majikannya sejak seminggu lalu.

"Siasatan awal mendapati mangsa hanya diberikan balkoni untuk ruang tidur, bukan bilik. Mangsa hanya diberi bantal dan tilam dan dia menderita setiap kali hujan.

"Mangsa mendakwa, tidak dibenarkan menyentuh apa-apa barangan dalam rumah berkenaan dan pintu balkoni juga dikunci dari dalam," katanya pada Isnin.

Katanya, mangsa juga dibenarkan masuk ke dalam unit kondominium antara 5 pagi dan 11 pagi apabila diarah membersihkan unit tersebut.

Beliau berkata, mangsa tidak menerima gaji sejak bekerja seminggu lalu dan tidak tahu berapa nilai gajinya.

"Mangsa mendakwa, diberikan makan dan minum sebanyak tiga kali sehari selain sentiasa dimarahi oleh majikannya itu.

"Keadaan mangsa diketahui apabila dia menulis sekeping nota untuk meminta bantuan dan melemparkannya dari balkoni," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Atipsom 2007 dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1956/63. — The Star/FARIK ZOLKEPLI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram