PIHAK polis memulakan penyiasatan terhadap dakwaan mesej menghina Islam yang dicetak pada resit rangkaian restoran piza, Domino's di Kenari Avenue, Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, susulan daripada kejadian itu pihaknya mengesahkan menerima laporan berhubung isu resit berkenaan kira-kira pukul 3.05 petang Rabu.
“Gambar resit pesanan pelanggan itu turut tular di laman media sosial X (Twitter) pada pagi Khamis.
BACA LAGI: Vern's mohon maaf, akui logo kasut tak sempurna, tiada niat niat perlekeh hina kalimah ALLAH
BACA LAGI: Logo kasut mirip kalimah ALLAH: MCMC beri amaran jangan sebar kandungan 3R
"Kejadian didakwa berlaku di Kenari Avenue, Bayan Lepas, Pulau Pinang," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Jelas beliau lagi, siasatan awal mendapati melalui resit yang tersebar, seorang pembeli dalam talian meninggalkan pesanan menghina Islam pada tempahannya.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan melukakan perasaan agama serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 (menggunakan perkataan kurang sopan, mengugut, mengaibkan atau menghina).
"Pihak polis juga meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam," katanya.
Resit tempahan online
Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Datuk Azrul Mahathir Aziz berkata, dia sudah bertemu dengan penyelia cawangan serta pengurus Domino’s Pizza Cawangan Utara berkenaan, pada Rabu, susulan gambar tular itu.
“Ramai salah faham seperti saya juga pada awalnya yang menyangka resit berkenaan dijana oleh cashier (juruwang) rangkaian restoran berkenaan.
“Sebenarnya resit yang ditularkan itu adalah resit tempahan (pesanan) secara dalam talian dan ada ruangan ‘remark’ yang disalah guna oleh individu yang memprovokasi,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada Khamis.
Dalam pada itu, Domino's telah meluahkan rasa kesal dan kecewa apa yang berlaku.
Domino's dalam satu kenyataan memaklumkan mereka juga telah mengambil langkah sewajarnya terhadap kedua-dua pelanggan dan kakitangan terlibat.
“Kami amat kecewa kerana seorang pelanggan menulis mesej yang tidak menjaga sensitiviti dan tidak menghormati agama orang lain ketika membuat pesanan.
"Kami juga kesal dengan tindakan salah seorang pekerja kami yang memuat naik resit yang mengandungi maklumat peribadi pelanggan tersebut ke dalam media sosial," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram