Lebuhraya SPE selamat digunakan, hanya kesan hitam bukan retak — KKR


  • Primer
  • Ahad, 09 Jun 2024

KKR menyatakan bahawa struktur SPE yang didakwa retak hanyalah kesan hitam.

SIASATAN terhadap struktur Lebuhraya Setiawangsa Pantai (SPE) yang didakwa retak oleh pengguna media sosial sejak Jumaat lalu , hanya kesan hitam dan tidak melibatkan sebarang keretakan.

Perkara itu dimaklumkan Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam satu kenyataan pada Ahad.

Jelas KKR, pihak SPE dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) serta syarikat perunding telah serta merta mengadakan lawatan siasatan pada pukul 11.00 malam Jumaat lepas.

BACA LAGI: 'Sampai rakyat kena buat repot', gambar retakan lebuh raya SPE makin besar dapat respons pantas Menteri Kerja Raya

BACA LAGI: Sudah beberapa kali ragut nyawa, penduduk Puncak Alam gesa PBT bina lampu isyarat di 'Persimpangan Mario'

Ia bagi menjalankan pemeriksaan struktur di lokasi aduan iaitu di struktur bertingkat jenis crosshead portal Pier No 50 di Jalan Cheras, Maluri, Kuala Lumpur.

“Pada Jumaat lepas, pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Lebuhraya SPE telah menerima pelbagai aduan berkenaan penularan di media sosial perbandingan dua keping gambar struktur di Lebuhraya SPE berhampiran Jalan Cheras Kuala Lumpur yang telah disyaki retak besar.

“Pihak LLM telah mengarahkan pihak SPE dan Jurutera Perunding EDP untuk membuat pemeriksaan ke atas aduan tersebut pada malam itu juga memandangkan ianya melibatkan keselamatan pengguna lebuh raya.

“Pemeriksaan dan siasatan terperinci secara visual jarak dekat dengan menggunakan jentera skylift telah dilakukan oleh pihak SPE dan syarikat perunding dengan kehadiran LLM.

“Hasil siasatan ke atas struktur berkaitan, telah mendapati ianya hanyalah kesan-kesan hitam di atas permukaan konkrit crosshead,” jelas KKR.

Siasatan juga mendapati kaedah pembinaan crosshead portal melibatkan multiple casting dan kesan hitam telah terkumpul pada dry joint.

Kesan hitam itu telah dipastikan bukan keretakan seperti yang ditularkan.

Jelas KKR lagi, Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi turut turun padang bersama Ketua Pengarah LLM, Datuk Ir Sazali dan wakil syarikat perunding pada Ahad bagi meninjau lokasi berkenaan.

“Integriti struktur telah dipastikan kukuh dan selamat selepas siasatan dijalankan.

“YB Menteri telah diberikan penerangan secara terperinci berkenaan kesan-kesan hitam pada permukaan konkrit crosshead yang telah didakwa sebagai keretakan besar oleh para netizen.

“Jurutera Profesional daripada Perunding EDP telah mengesahkan integriti struktur adalah kukuh dan selamat setelah pemeriksaan dijalankan,” katanya.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram