Sudah beberapa kali ragut nyawa, penduduk Puncak Alam gesa PBT bina lampu isyarat di 'Persimpangan Mario'


  • Massa
  • Khamis, 06 Jun 2024

Seorang penunggang motosikal maut selepas merempuh sebuah kenderaan di sebuah persimpangan dekat kawasan Bandar Puncak Alam pada Rabu.

PENDUDUK di sekitar kawasan Bandar Puncak Alam, Selangor menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) terutamanya pihak Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) untuk membina lampu isyarat di kawasan sebuah persimpangan yang dikenali 'Persimpangan Mario' dalam kalangan penduduk setempat.

Hal ini kerana kawasan tersebut kerap kali berlaku kemalangan sehinggakan ada yang meragut nyawa.

Terbaharu, seorang penunggang motosikal maut selepas merempuh sebuah kenderaan di persimpangan tersebut. Mangsa yang dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah meninggal dunia di tempat kejadian pada Rabu.

BACA LAGI: [VIDEO] Lelaki cedera parah, aksi tikam-menikam sekumpulan lelaki bergaduh di 'Kedai CC' dirakam dekat Ipoh

BACA LAGI: [VIDEO] Terjatuh dalam 'mixer', pekerja kilang hilang kaki dan tangan, kulit kepala tersiat

Kejadian tersebut juga telah menimbulkan kebimbangan yang serius dalam kalangan komuniti, terutama bagi keselamatan pengguna jalan raya.

Sehubungan itu, penduduk berpendapat bahawa pembinaan lampu isyarat akan membantu mengurangkan risiko kemalangan dengan memastikan aliran trafik yang lebih teratur dan selamat.

Seorang pengguna media maya, Nur Syazwani Taridi berharap agar pihak yang terlibat dapat memberi perhatian serius terhadap masalah tersebut.

"Tolong buat lampu isyarat atau bonggol. Untuk elakkan kemalangan yang tak diingini berlaku. Pada masa sama, ia juga boleh menolong membantu mengurangkan lumba haram," katanya.

447586037_7557183134364274_222425143759746462_n

Penduduk di sekitar kawasan Bandar Puncak Alam menggesa pihak MPKS untuk membina lampu isyarat di kawasan sebuah persimpangan yang dikenali 'Persimpangan Mario'. — Facebook/ BandarPuncakAlamCommunity

Ahmad Syafiq turut bersetuju dengan cadangan Nur Syazwani.

"Kalau tidak mampu tutup simpang itu, tolonglah bina satu lampu isyarat. Semalam (Rabu) nampak mangsa terbaring tengah-tengah jalan. Semuanya berpunca dengan jalan yang mengelirukan.

"Kawasan Bandar Puncak Alam ini terlalu banyak yang tiada lampu isyarat," tulisnya.

Sementara itu, seorang lagi warga maya Syarifah Farah berharap agar PBT menutup sahaja persimpangan tersebut dan membuat satu lagi jalan alternatif yang baharu.

"Aduh, tutup sahaja 'Simpang Mario' itu. Menyusahkan semua orang. Entah apa-apa punya simpang itu. Tutup dan kemudian buat 'U-Turn' jauh sikit supaya selamat.

"Tak kan nak tunggu ada orang meninggal baru nak ambil tindakan. Al-fatihah buat mangsa," katanya.

Gesaan ini adalah langkah proaktif daripada komuniti yang prihatin dengan keselamatan dan kesejahteraan bersama. Penduduk berharap agar PBT akan mengambil tindakan segera demi kepentingan dan keselamatan semua pihak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram