Wanita, anak OKU antara 3 maut kemalangan 2 kenderaan di Jerantut


  • 112
  • Ahad, 09 Jun 2024

DUA beranak antara 3 terbunuh nahas dua kereta bertembung di Jalan Jerantut Maran, dekat Kampung Sungai Salan, di Jerantut pada Sabtu.

TIGA terbunuh dan seorang lagi parah selepas dua kereta bertembung di Jalan Jerantut-Maran, dekat Kampung Sungai Salan, di Jerantut pada Sabtu.

Seorang mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua lagi meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Jerantut.

Ketua Polis Daerah Jerantut Superintendan Zukri Muhammad berkata, mangsa yang terbunuh di tempat kejadian dikenali Nur Harina Fatihah Syaifol, 21.

BACA LAGI: [VIDEO] Tak tarik 'hand brake' masa parkir, penunggang wanita antara mangsa kemalangan kereta undur tiba-tiba di Balakong

BACA LAGI: [VIDEO] Baru setahun berkahwin, wanita maut dipercayai dibunuh suami sendiri di Klang

Manakala ibunya, Norazlina Ismail, 44, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Jerantut.

Pemandu Bezza yang juga bapa mangsa, Syaifol Bahari Idris, 50, mengalami kecederaan di bahagian lutut dan badan.

Sementara pemandu Myvi, Suhaimi Abd Rahman, 42, juga meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Jerantut.

Ketika kejadian keluarga terbabit dalam perjalanan dari arah Jengka ke Jerantut dan bertembung dengan Perodua Myvi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, memetik laporan Buletin TV3, Syaifol Bahari yang juga pemandu ambulans berkata, isterinya ada bertanyakan hal penjagaan anak mereka yang berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) dua hari lalu.

Katanya, walaupun berhadapan kehilangan dua orang tersayang serentak, dia tetap reda dengan ketentuan ALLAH.

“Nur Harina anak tunggal kami, saya reda dengan kejadian ini. Jenazah kedua-duanya akan dikebumikan di sebelah pusara ibu mentua yang meninggal enam bulan lepas di Felda Jengka 16,” katanya.

Syaifol Bahari yang cedera dalam kemalangan kira-kira 6 petang itu memaklumkan mereka tiga beranak dalam perjalanan pulang selepas menziarahi orang meninggal dunia di Felda Jengka 13 dan singgah di rumah keluarga di Felda Jengka 16. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram