Kakitangan didakwa tak produktif, ada yang gesa kerajaan kaji semula kenaikan gaji kakitangan PTG


  • Massa
  • Khamis, 02 Mei 2024

Segelintir warga maya berpendapat penjawat awam yang bekerja di PTG tidak layak menerima kenaikan gaji berkenaan kerana didakwa kurang produktif. — Gambar hiasan

KADAR kenaikan gaji penjawat awam yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sambutan Hari Pekerja pada Rabu ternyata mengundang pelbagai reaksi warga maya.

Walaupun pengumuman itu merupakan satu berita gembira buat penjawat awam namun ada juga yang kurang senang dengan kenaikan gaji yang bakal diluluskan di Parlimen pada Disember depan.

Malah, ada segelintir yang berpandangan, pemberian kadar gaji di sesetengah agensi seharusnya dibuat penilaian dan kajian semula.

Ini kerana, terdapat kakitangan agensi berkenaan yang didakwa tidak menyediakan perkhidmatan atau layanan sewajarnya.

Perkara itu diluahkan menerusi komen dalam ciapan pengguna laman X (Twitter) @jllmisai pada Rabu.

"Ikut pengalaman buruk korang, agensi mana satu yang rasanya perlu dikaji semula kenaikan gaji mereka?," ciapnya.

Menjengah ke ruangan komen ada segelintir warga maya berpendapat penjawat awam yang bekerja di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) tidak layak menerima kenaikan gaji berkenaan kerana didakwa kurang produktif.

BACA LAGI: Gaji penjawat awam naik lebih 13 peratus, pendapatan bulanan cecah RM2,000 — PM Anwar

Anwar Ibrahim pada Rabu mengumumkan berita gembira buat penjawat awam yang bakal menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus bermula 1 Disember depan.

BACA LAGI: Microsoft umum pelaburan RM10.5 bilion di Malaysia

Seorang warga maya @Axel_Hassel berkata, kerajaan patut membuat penilaian pekerja PTG serta mengkaji semula kenaikan gaji segelintir kakitangan agensi tersebut.

"Jujur kakitangan PTG paling lambat dan lembab (buat kerja). Tak tahu mereka buat apa selama ini. Kaunter tutup, call banyak kali tak dijawab.

"Aku buat urusan tanah mak aku, nak tukar nama sahaja tetapi ambil masa dua tahun," katanya.

@Wnnaim1 turut bersetuju dengan @Axel_Hassel.

"Aku setuju kaji semula kenaikan gaji kakitangan PTG.

"Hantar surat permohonan sewaan dewan dari 19 Januari lalu sampai sekarang tak ada maklum balas. Ingat kami ini tak ada kerja ke nak ulang alik ke sana. Buang masa tenaga dan duit," katanya.

Dalam pada itu, ramai yang bersetuju Kementerian Kesihatan (KKM) terutamanya mereka yang bertugas sebagai doktor dan jururawat layak mendapat kenaikan gaji.

"Bagi aku, hanya kakitangan KKM sahaja yang layak dapat kenaikan gaji. Ramai doktor dan jururawat yang lebih suka bekerja di luar negara kerana tawaran gaji yang lebih tinggi sekali gus menyebabkan sistem kesihatan negara kekurangan pekerja. Lebih elok kaji kenaikan gaji KKM, naikkan 200 peratus pun tak ada masalah untuk doktor dan jururawat. Tambah juga kakitangan mereka," kata @iedbanana.

Terdahulu, Perdana Menteri dilaporkan berkata, kenaikan melebihi 13 peratus itu melibatkan gaji pokok dan bukannya elaun, dan perincian mengenainya akan dibincang dalam mesyuarat Kabinet sebelum diputuskan.

Menyifatkan pengumuman yang dibuat sempena Hari Pekerja itu sebagai menghargai sumbangan dan jasa penjawat awam kepada negara, Anwar yang juga Menteri Kewangan pada masa sama mahu golongan berkenaan supaya terus meningkatkan produktiviti selari dengan kenaikan gaji yang dinikmati. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram