Anggota Malbatt, Sarjan Faridah meninggal dunia di Lubnan


  • Primer
  • Ahad, 19 Mei 2024

Sarjan Faridah disahkan meninggal dunia di Lubnan pada Sabtu. — ATM

PEGAWAI Tidak Tauliah Kanan (PTTK) daripada Malaysian Battalion 850-11 (Malbatt 850-11) bagi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL), Sarjan Faridah Abd Rahman disahkan meninggal dunia di Lubnan pada Sabtu.

Markas Angkatan Tentera Malaysia (MK ATM) memaklumkan, anggota Malbatt berusia 39 tahun itu meninggal dunia pada pukul 2.25 pagi waktu Lubnan (7.25 pagi waktu Malaysia).

Menurutnya, Allahyarhamah bertugas sebagai Penyelia Kanan Hal Ehwal Islam Malbatt 850-11 di Kem Marakah.

BACA LAGI: Curang, mentua antara punca utama pasangan muda bercerai

BACA LAGI: [VIDEO] Sampai difilemkan, suspek kes bunuh Vina 8 tahun lalu bukan anak pegawai polis Indonesia

"Allahyarhamah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Malbatt 850-11 apabila rebah selepas turun dari bas di Kem Marakah.

"Allahyarhamah pada ketika itu baru pulang ke Lubnan selepas selesai bercuti di Malaysia.

"Jenazah Allahyarhamah akan dihantar ke Hospital Hammoud, Saida untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian yang akan dijalankan pada 10.30 pagi waktu Lubnan atau 3.30 petang waktu Malaysia hari ini (Ahad)," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

MK ATM berkata, Allahyarhamah berasal dari Pendang, Kedah dan baru kembali bertugas setelah bercuti di Malaysia.

"Allahyarhamah mula memasuki perkhidmatan ATM dengan menyertai Tentera Darat sejak 2007 dan ditugaskan di Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat).

"Allahyarhamah sebelum ini bertugas sebagai Penyelia Kanan Hal Ehwal Islam di Batalion Ke-19 Rejimen Askar Melayu Di Raja (MEKANIZE), Kem Lapangan Terbang, Sungai Petani, Kedah sebelum di atur gerak menyertai Misi Malbatt 850-11 UNIFIL," ujarnya.

Menurut kenyataan itu lagi, Allahyarhamah sudah mendirikan rumah tangga dan mempunyai tiga anak perempuan dan seorang anak lelaki berusia antara empat hingga 10 tahun.

"Markas Angkatan Bersama (MK AB) yang berperanan menyelaraskan semua keperluan operasi dan misi ATM di luar negara termasuk atur gerak Malbatt 850-11 bagi Misi UNIFIL akan menguruskan proses penghantaran pulang jenazah Allahyarhamah ke Malaysia," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram