POLIS menemui mayat seorang lelaki di dalam menara air di Kampung Pondok Aren, Tangerang Selatan, Banten, Indonesia pada 28 Mei lalu.
Mangsa yang dikenali sebagai Devikarmawan ditemukan dalam keadaan sudah membusuk.
Video dan beberapa gambar memaparkan situasi kejadian turut dikongsikan di laman X (Twitter).
Ketua Polis Pondok Aren, Pesuruhjaya Bambang Askar Sodiq berkata, mayat lelaki itu ditemui kira-kira pukul 6.30 petang, sebelum dibawa ke sebelum dibawa ke Hospital Polis Kramat Jati untuk dibedah siasat.
BACA LAGI: Mayat hampir reput ditemui di cerun bukit di Genting Highlands
Menurutnya, jasad mangsa ditemui selepas saksi terhidu bau yang kurang menyenangkan di dalam bilik air rumahnya.
"Saksi, Sutrisno, yang juga pemilik rumah itu curiga kerana airnya keruh dan berbuih.
"Isteri pemilik rumah kemudian meminta suaminya memeriksa menara air di belakang rumah.
"Apabila dia membuka penutup menara, saksi terkejut melihat satu objek yang besar, selepas diperiksa barulah mereka tahu ada mayat di dalamnya," katanya.
Jasad mangsa ditemui selepas saksi terhidu bau yang kurang menyenangkan di dalam bilik air rumahnya. — Agensi
Bagaimanapun, punca kematian masih belum dapat dikenal pasti setakat ini.
Sementara itu, ibu mangsa, Darmiyati, 55, memohon agar bedah siasat dijalankan ke atas kes tersebut ekoran terdapat perkara aneh berhubung kematian anaknya.
Menurutnya, mereka mendapati ada kesan-kesan lebam pada badan Devikarmawan selepas mayatnya dibawa keluar dari menara air.
"Hati saya mengatakan ada sesuatu yang pelik, anak saya seperti dibelasah orang. (Nampak kesan cekik) ya (sambil tunjuk leher)," katanya.
Kongsi Darmiyati, anaknya tidak pernah mempunyai musuh atau rakan-rakan yang mencurigakan.
Malah ujarnya, mangsa sering menghabiskan masa bermain dengan anak saudaranya di rumah sahaja.
Dalam pada itu, jiran kepada Sutrisno mengakui terdengar bunyi riuh seperti orang sedang bergaduh pada malam kejadian.
"Malah, mereka juga mendengar bunyi seolah-olah seseorang dicekik kira-kira pukul 11.30 malam," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram