Sekolah kerap putus bekalan elektrik, murid sekolah di Johor Bahru berpanas ikuti kelas di koridor


  • Massa
  • Sabtu, 08 Jun 2024

Murid di SJK (T) Ladang Nam Heng, Johor yang terpaksa belajar dalam keadaan tidak selesa kerana terputus bekalan elektrik. — The Star

KIRA-KIRA 39 murid sebuah sekolah rendah estet terpaksa menjalani sesi pembelajaran di sepanjang koridor luar bilik darjah kerana berdepan dengan masalah gangguan bekalan elektrik.

Masalah itu berlanjutan apabila mereka terputus bekalan elektrik selama tiga hari selepas berlakunya litar pintas pada kotak fius utamanya.

Situasi itu sekali gus menyebabkan segelintir murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Nam Heng, Johor Bahru, Johor pening dan loya sehingga ada yang dibenarkan untuk belajar dari rumah.

BACA LAGI : Pelajar TVET berpotensi ke luar negara dengan penguasaan bahasa Inggeris yang baik

BACA LAGI : 'Lawan cara gentlemen', lelaki dipercayai mabuk 'K.O' lepas kena tibai di kedai runcit

msg1050426791-33400

Murid sekolah perlu menjalani sesi pembelajaran dalam keadaan selesa. — Gambar hiasan

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah terbabit, S. Priyalatha berkata, isu itu secara langsung menjejaskan sesi pembelajaran di sekolah selama beberapa tahun kebelakangan ini apabila gangguan elektrik itu dilaporkan berlaku sehingga empat kali sebulan.

Dia berkata, sekolah yang dibina pada 1965 itu bagaimanapun hanya mempunyai bekalan jana kuasa yang mencukupi untuk menyokong satu blok bilik darjah.

"Sejak itu, pendawaian tidak diganti, tetapi sekolah pula dinaik taraf dengan tambahan dua blok dan kemudahan lain," katanya sambil menambah bahawa setiap kali bekalan elektrik terputus, murid-murid terpaksa menunggu selama satu jam sebelum keadaan pulih.

Priyalatha juga meluahkan rasa sedihnya apabila melihat semua murid terpaksa duduk di sepanjang koridor untuk belajar kerana terlalu panas untuk berada di dalam bilik darjah.

Katanya, perkara itu sudah dibawa ke Jabatan Pendidikan Daerah, Jabatan Kerja Raya, Tenaga Nasional dan Pengurusan Ladang.

Tambahnya, pada Khamis, pihak pengurusan ladang datang untuk menyambung semula bekalan elektrik dengan menukar fius utama buat sementara waktu.

"Bagaimanapun, ini hanyalah langkah sementara. Pada 2023, PIBG membelanjakan RM6,000 untuk melakukan kerja-kerja pembaikan, tetapi masalah itu belum diselesaikan.

"Saya harap seseorang dapat membantu menyelesaikan isu elektrik ini supaya murid-murid kembali menjalankan sesi pembelajaran mereka dengan selesa,” katanya lagi.

Priyalatha berkata, langkah jangka masa panjang diperlukan untuk menggantikan semua pendawaian di sekolah itu dengan peruntukan yang lebih besar daripada pihak berkuasa.

"Ini adalah sekolah yang baik dan ada beberapa murid terpaksa menempuh perjalanan sehingga 45 minit untuk datang ke sekolah setiap hari," katanya sambil berkata, sekolah itu berada di kedudukan ketiga dalam kalangan tujuh sekolah terbaik di Kota Tinggi, Johor.

Katanya, selain bekalan elektrik, bumbung sekolah yang bocor juga perlu dibaik pulih.

"Semasa banjir Januari lalu, murid dan guru terperangkap di dalam sekolah selama beberapa jam kerana jalan masuk ke sekolah terhalang akibat banjir," jelasnya.

Setakat ini, beliau berkata, pihak Jabatan Pendidikan Johor mengesan dan sedang berusaha menyelesaikan masalah tersebut. — The Star/ Nelson Benjamin

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram