PENDIDIKAN dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini semakin menjadi perhatian apabila kerajaan mengambil langkah mencetuskan semangat generasi muda untuk menceburi bidang tersebut.
TVET pada masa sama mampu memberi jaminan kepada para penuntutnya untuk mendapat kerja lebih mudah dengan kebolehpasaran yang tinggi.
Menurut Pensyarah Kanan Unit Bahasa Inggeris, Jabatan Pengajian Am di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor, Dr Hjh Seeni Mehraj Begam V.K.S. Vyzul Karnine, penguasaan bahasa Inggeris adalah penting untuk pelajar politeknik lebih maju ke hadapan dan berjaya dengan kemahiran tersebut.
BACA LAGI: TVET penyelamat pelajar tak hadir SPM, mudah dapat kerja dan pendapatan lumayan
BACA LAGI: Sempat bayar tol, pemandu kelam-kabut lari lepas dikejar 2 penunggang motosikal di Indonesia
Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. — Facebook
Katanya, dengan penguasaan yang baik, pelajar boleh mengembangkan kemahiran teknikal yang profesional dan cekap sehingga ke peringkat global.
"Ini kerana politeknik sering didatangi wakil-wakil kerajaan dan syarikat luar negara seperti China, Korea, Jepun, Jerman, Indonesia dan sebagainya yang turut menawarkan peluang pekerjaan kepada graduan politeknik.
"Maka dengan penguasaan bahasa Inggeris yang baik pastinya memberi nilai tambah dan peluang yang lebih besar kepada pelajar," katanya kepada Majoriti.
Dalam pada itu, beliau juga menjelaskan tentang kepentingan untuk para pelajar tidak melupakan terus bahasa ibunda iaitu bahasa Melayu.
Seeni Mehraj menekankan bahawa sistem politeknik membantu para pelajar menguasai bahasa Inggeris bagi menambah daya saing di peringkat antarabangsa.
Beliau yang juga merupakan Pegawai Kolaborasi, di Pusat Korporat, Hubungan Industri dan Kebolehpasaran mengupas bahawa, sistem politeknik menekankan kemahiran soft skills pelajar seperti aspek komunikasi termasuk program-program bahasa Inggeris seperti PolyVox 2024, debat, dan sebagainya.
Pelajar politeknik juga didedahkan dengan pembelajaran bahasa-bahasa lain seperti bahasa Cina dan Arab.
Katanya, bahasa Melayu juga sangat penting untuk dikuasai oleh pelajar supaya dapat memartabatkannya ke mata dunia.
"Memang betul bahasa Melayu pun penting kerana itu bahasa ibunda yang menunjukkan identiti kita sebagai rakyat Malaysia.
"Kita kena martabatkan bahasa kita supaya di mata dunia, mereka tahu tentang bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan kita," katanya.
Seeni Mehraj bagaimanapun berkata, bahasa Inggeris merupakan bahasa antarabangsa yang sekali gus menjadi satu bahasa pengantar seperti yang diguna pakai tokoh-tokoh kenamaan, ahli politik dan jurutera di seluruh dunia.
Jelasnya, sistem politeknik telah membantu para pelajar menguasai bahasa Inggeris, bahasa Melayu dan bahasa-bahasa lain bagi menambah daya saing pelajar di peringkat antarabangsa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram