SEORANG lelaki maut selepas dilanggar sebuah kereta ketika sedang memberi bantuan kepada mangsa kemalangan dalam kejadian di Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi, Johor pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian daripada orang awam pukul 5.20 petang.
Hussin berkata, kemalangan pada awalnya berlaku membabitkan kereta jenis Perodua Axia yang dipandu lelaki tempatan berumur 33 tahun ketika dalam perjalanan dari arah Sungai Rengit ke Kota Tinggi.
BACA LAGI: 'Sebab tu kena ada ilmu', pembeli kena 'sekolah' lepas dakwa ditipu peniaga jual durian buruk
BACA LAGI: Pelaksanaan DGP sasar 1,000 majikan, tak terpakai untuk pekerja asing — KESUMA
Katanya, kereta terbabit dipercayai terbabas sendiri sebelum ia dibantu oleh mangsa yang ketika itu memberhentikan keretanya di tepi jalan.
"Apabila melihat kemalangan itu, seorang lelaki tempatan yang memandu Toyota Hilux dari arah bertentangan memberhentikan kenderaan dan membantu mangsa.
"Ketika mangsa berusia 35 tahun itu sedang membantu tiba-tiba datang Mitsubishi Triton dipandu lelaki tempatan berumur 27 tahun bersama dua penumpang berumur 26 dan 27 tahun dari arah Sungai Rengit melanggar mangsa yang berhampiran dengan Perodua Axia itu," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, impak dari pelanggaran itu, pemandu Toyota Hilux tersebut cedera parah pada organ dalaman badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi. Pemandu dan penumpang Triton turut mengalami kecederaan dan masih menerima rawatan di hospital sama.
"Manakala, pemandu Perodua Axia cedera ringan dan sedang dirawat di Hospital swasta di Pasir Gudang, Johor," katanya.
Hussin bagaimanapun berkata, punca kemalangan masih dalam siasatan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, kakak kepada mangsa yang meninggal dunia itu turut berduka cita atas pemergian adiknya, Mohamad Rafie Sofian Bordie.
"Makluman semua, jenazah adik saya telah selamat tiba di rumah. Arwah akan disolatkan di Masjid Sungai Rengit pada pukul 9 pagi dan terus dibawa ke tanah perkuburan," tulisnya di Facebook Sarah Bordie. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram