Bekas Menteri Pendidikan, Musa Mohamad meninggal dunia


  • Primer
  • Sabtu, 08 Jun 2024

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada pukul 7 malam, Sabtu.

BEKAS Menteri Pendidikan yang juga bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Tan Sri Musa Mohamad meninggal dunia pada Sabtu.

Berita kematiannya dikongsikan Timbalan Pendaftar USM, Mohamad Abdullah menerusi satu hantaran di Facebook.

Difahamkan, Musa, 81, menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 7 malam.

BACA LAGI: Wartawan hiburan veteran, Huzz meninggal dunia akibat kanser usus

BACA LAGI: Bekas penyanyi, Nabil Zamanhuri meninggal dunia di Hospital Ampang

“Mendapat khabar duka yang Naib Canselor USM ketiga, Tan Sri Musa Mohamad baru sahaja menghembuskan nafas terakhir.

“Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan diletakkan bersama-sama hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh,” katanya.

Menurut Mohamad, USM banyak terhutang budi kepada Allahyarham terutamanya dalam pembangunan fizikal dan akademik termasuk meletakkan asas yang kukuh kepada Pengajian Sains Perubatan dan Kejuruteraan.

Beliau berkata, Allahyarham merupakan seorang yang tegas dan berpandangan jauh, jovial, berprinsip serta berhati mulia.

“Secara peribadi saya banyak terhutang budi kepada beliau yang mencorakkan cara bekerja dan pemikiran sepanjang perkhidmatan di USM,” ujarnya.

Allahyarham Musa yang berkhidmat sebagai Naib Canselor USM dari 1982 hingga 1995 juga ialah seorang Ahli Majlis Tertinggi Umno antara tahun 2000 hingga 2003.

Beliau menyandang jawatan Menteri Pendidikan ke-14 bermula 1999 hingga 2004. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram