KPM siasat guru di Pahang keluarkan komen jelek


  • Primer
  • Isnin, 03 Jun 2024

Fadhlina mengingatkan bahawa media sosial perlu digunakan dengan sikap bertanggungjawab dan berdasarkan garis panduan.

SEORANG guru di Pahang sedang disiasat selepas meninggalkan satu komen bertujuan menyakitkan hati terhadap golongan bukan Islam di laman media sosial Facebook.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengesahkan Unit integriti Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang sedang membuat siasatan.

“Media sosial perlu digunakan dengan penuh bertanggungjawab dan berdasar kepada garis panduan nilai dan etika yang sedang berkuat kuasa.

"Tindakan tegas akan diambil ke atas sesiapa sahaja yang telah dibuktikan melanggar peraturan tatatertib berdasarkan kepada peruntukan yang ditetapkan," katanya.

BACA LAGI: Tiada istilah SBP elit, tempoh pelantikan pengganti pengetua bergantung pelbagai faktor — KPM

BACA LAGI: NUTP desak KPM bentang maklumat, punca lebih 10,000 calon tidak duduki SPM 2023

348559259_642348474012500_6145048734646708563_n

JPN Pahang akan turut bersama-sama melakukan siasatan terhadap guru berkenaan. Facebook/JPN Pahang

Berdasarkan laporan media, guru berkenaan difahamkan membuat satu komen yang mengulas laporan akhbar tentang Selangor mula menumpukan pengajaran kepada kitab Turath dengan ia merupakan kitab tradisional berhubung pengajian Islam.

Susulan itu, pengguna berkenaan meninggalkan komen sinis yang menyatakan tidak guna seseorang itu mempelajari pelbagai kitab agama jika akhirnya mengundi bukan Islam.

Setiausaha politik kepada Fadhlina, Atiqah Syairah Shahruddin berkaya, guru tersebut yang memegang jawatan signifikan masih mengajar di salah sebuah sekolah sekitar Pahang.

Ujarnya, Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) telah membuat siasatan awal dan bersedia untuk tindakan lanjut sejurus pembukaan penggal persekolahan Selasa ini.

Mengulas lanjut, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal turut mengingatkan guru bahawa penjawat awam wajib mematuhi peruntukan ditetapkan termasuk ketika menggunakan media sosial. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram