[VIDEO] Penunggang maut rempuh belakang bas tiba-tiba berhenti di Melaka


  • Tular
  • Khamis, 06 Jun 2024

Tangkap layar seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya merempuh belakang sebuah bas yang tiba-tiba berhenti di tengah jalan dekat Krubong Perdana, Melaka pada Khamis.

SEORANG penunggang motosikal berkuasa tinggi maut dalam satu kemalangan tragis apabila merempuh belakang sebuah bas yang tiba-tiba berhenti di tengah jalan dekat Krubong Perdana, Melaka pada Khamis.

Melalui maklumat awal yang dikongsikan di aplikasi WhatsApp, kejadian itu berlaku pada pagi Khamis dan turut menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk di kawasan itu.

Difahamkan, bas tersebut berhenti secara mengejut tanpa memberikan sebarang isyarat amaran, sekali gus menyebabkan mangsa yang berusia 19 tahun tidak sempat mengelak dan merempuh belakang bas tersebut dengan kuat.

BACA LAGI: [VIDEO] Polis Sibu saman bapa kanak-kanak autisme biar anak pandu kereta sendirian

BACA LAGI: [VIDEO] Lelaki cedera parah, aksi tikam-menikam sekumpulan lelaki bergaduh di 'Kedai CC' dirakam dekat Ipoh

Impak daripada rempuhan tersebut menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan beberapa anggota badan.

Menurut saksi yang berkongsi video kejadian, mangsa maut di tempat kejadian sementara pemandu bas tidak mengalami sebarang kecederaan.

Melalui video berdurasi kurang seminit, kedengaran suara si perakam memarahi pemandu tersebut yang didakwa memberhentikan bas pengangkutan awam itu secara tiba-tiba.

"Kemalangan baru berlaku di Krubong Perdana. Mangsa dah meninggal dunia langgar belakang bas berhenti secara tiba-tiba.

"Tempat ini kau tak boleh berhenti, kau berhenti kenapa?," soalnya kepada pemandu bas tersebut.

Sementara itu, pemandu bas berkenaan berkata dia terpaksa menghentikan bas tersebut untuk membetulkan sesuatu di bahagian bas berkenaan.

Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram