Menara International College tawar 7 kursus TVET buat lepasan cemerlang, pelajar tidak hadir SPM


  • Massa
  • Jumaat, 07 Jun 2024

Kampus utama Menara International College yang terletak di Taman Sri Emas, Kampar, Perak dengan dua lagi kampus lain.

SATU statistik merisaukan dikeluarkan untuk pengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 apabila 10,160 daripada 383,685 calon tidak hadir untuk mengikutinya.

Angka berkenaan sudah tentu merisaukan memandangkan persaingan semakin hebat hari ini menyebabkan pelajar tidak dapat menyambung pelajaran dalam apa-apa bidang diminatinya.

Malah, institusi pengajian tinggi awam (IPTA) atau swasta (IPTS) sudah tentu enggan mengambil mereka kerana khuatir imej kolej masing-masing terkesan.

BACA LAGI: Cosmopoint College tawar 1,000 slot baharu buat golongan B40, M40 lanjutkan pelajaran

BACA LAGI: Pengajian fleksibel KLMUC beri peluang mahasiswa bekerja genggam ijazah

WhatsApp Image 2024-06-01 at 22.00.50

Diploma Elektrik ditawarkan kepada pelajar yang berminat untuk mendalami bidang berkenaan.

Namun, bagi Menara International College, peluang masih diberikan kepada pelajar yang tidak meraih keputusan cemerlang dalam SPM untuk menceburi bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Pusat pengajian yang terletak di Kampar, Perak itu bukan sahaja menawarkan peluang pengajian buat mereka, malah graduan kolej turut mempunyai peluang cerah untuk mendapatkan peluang pekerjaan dalam bidang diceburi.

Pengerusi Lembaga Pengarah Menara International College, Normah Karim berkata, kolej berkenaan bersedia menerima pelajar lepasan SPM tanpa mengambil kira latar belakang pendidikan di bangku persekolahan.

"Kita terima pelajar yang tidak hadir SPM dan mereka yang meraih keputusan cemerlang kerana masing-masing sememangnya memenuhi institusi kami," katanya kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2024-06-01 at 22.00.52

Penghasilan pastri semakin mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat hari ini.

Menurutnya, pendekatan sedemikian sudah diambil sejak kolej berkenaan mula beroperasi lebih 30 tahun lalu dengan ia berjaya menghasilkan ribuan graduan berkualiti sehingga kini.

Menara International College yang dahulunya dikenali sebagai Kolej Menara Jaya menawarkan sebanyak tujuh kelas dalam bidang diploma dan persijilan, seperti Diploma Pengurusan Pejabat, Diploma Fesyen Pakaian Wanita dan Sijil Hawadingin.

Bidang terbabit boleh dikatakan cukup penting pada masa akan datang dengan orang ramai semakin sedar akan pentingnya dunia kemahiran hari ini.

Menurut Normah lagi, pelajar juga diberikan peluang untuk mempraktikkan pengajian diterima dalam kelas dengan perkara itu cukup penting dalam bidang TVET.

WhatsApp Image 2024-06-01 at 22.00.48

Sijil Hawadingin merupakan satu kursus yang semakin penting dalam landskap hari ini.

"Waktu pembelajaran kami adalah 80 peratus dan hanya 20 peratus sahaja teori. Satu kelas diperuntukkan 25 pelajar, cuma kita memang menyediakan kuota yang besar.

"Contohnya, dalam Sijil Hawadingin, kita menyediakan kuota 100 pelajar. Tetapi, dalam satu pengambilan, sekurang-kurangnya 25 'intake' supaya amaun itu memenuhi jumlah dalam kelas." katanya.

Jelasnya lagi, beberapa kemudahan lain turut disediakan buat pelajar yang menyertai Menara International College, termasuk elaun bulanan sebanyak RM600 dan kolej kediaman.

WhatsApp Image 2024-06-01 at 22.00.43

Diploma Automatif membawa pendedahan baharu terhadap lepasan SPM.

Selain itu, pengangkutan percuma juga ditawarkan dengan perkara sedemikian sudah tentu cukup penting untuk menarik lepasan SPM yang serius dalam menceburi bidang terbabit.

"Pelajar yang sertai kolej kami akan terima RM600 melainkan mereka tidak mahu kerana ini termasuk dalam skim pinjaman di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).

"Ini kerana kadang-kadang ada pelajar tidak mahu terlalu terbeban dengan hutang, mereka boleh menolaknya. Tetapi, jika masih mahu, boleh pilih amaun dengan RM600 adalah amaun maksimum," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram