ENAM orang pelajar berjaya dinobatkan sebagai pemenang Pertandingan Bakat Seni Kraf Remaja yang berlangsung selama dua hari iaitu Ahad dan Isnin bersempena Hari Terbuka Institut Kraf Negara (IKN) di IKN, Rawang, Selangor.
Terdapat dua bidang kraf yang dipertandingkan iaitu Pertandingan Seni Kraf Batik dan juga Pertandingan Seni Kraf Ukiran Kayu.
Bagi Pertandingan Seni Kraf Ukiran Kayu, tempat pertama dinobatkan kepada Muhammad Daniel Rayyan Fazle dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ideal Heights dengan wang tunai sebanyak RM500 berserta sijil.
Selain itu, pemenang kedua yang berjaya membawa pulang RM300 berserta sijil dimenangi oleh Lim Jun Wei dari SMK Rahmat, Melaka, manakala tempat ketiga dimenangi oleh pelajar SMK Seri Hartamas, iaitu Dya Qaisara Hawa Mohd Shafuddin.
BACA LAGI: Bimbing anak murid malas sampai ke menara gading jadi pembakar semangat Cikgu Teh didik anak bangsa
Muhammad Daniel Rayyan Fazle memenangi tempat pertama Pertandingan Seni Kraf Batik.
Daniel Rayyan, 16 tahun, berkata, dia sama sekali tidak menyangka mampu memenangi pertandingan itu memandangkan hanya mengambil subjek Pendidikan Seni sebagai mata pelajaran tambahan di sekolah.
"Masuk pertandingan pun pada saat-saat akhir sebab Jumaat lepas baru tahu ada program ini.
"Jadi bila dapat tahu menang tempat pertama memang gembiralah. Saya tak terfikir lagi mahu gunakan duit ini untuk apa jadi saya akan berikan kepada ibu saya terlebih dahulu," katanya kepada Majoriti.
Seni ukiran kayu tembus pola bujang yang dipersembahkan melalui bahan kayu itu sama seperti seni ukiran yang lain tetapi berbeza dari segi cara dan teknik pengukirannya.
Pola tembus bujang juga dikenali sebagai pola putu yang menggunakan motif tunggal daripada tumbuhan.
Daniel Rayyan turut berkata, dia kebiasaannya menggunakan kayu penunjuk al-Quran untuk memahirkan teknik ukurannya di rumah dengan menggunakan pisau ukir.
"Saya memang minat seni dari kecil tetapi betul-betul fokus kepada seni sejak tingkatan dua," katanya.
Guru subjek Pendidikan Seni kepada Daniel Rayyan, Nur Nadira Mohd Kassim berkata, dia melihat bakat terpendam anak muridnya itu untuk menyerlahkan seni ukir yang dibuat.
"Dia pentingkan ketelitian, tidak main-main bila belajar," katanya.
Tiga pemenang bagi kategori Pertandingan Seni Kraf Batik sempena Hari Terbuka IKN.
Dalam pada itu, bagi Pertandingan Seni Kraf Batik pula, juara dimenangi oleh Auni Darwisyah Nor Ainuddin dari Kolej Vokasional Setapak dengan membawa wang tunai sebanyak RM500 berserta sijil.
Manakala, tempat kedua dan tempat ketiga dimenangi oleh pelajar dari SMK Sri Hartamas iaitu Nur Fathin Sofea Hamzah dan Sarah Arianna Abu Bakar.
Menitikberatkan soal keadilan, pertandingan itu dijalankan secara serentak dalam tempoh masa yang sama buat para peserta iaitu selama empat jam bagi mengukir sesuatu seni yang dipertandingkan.
Pertandingan Seni Kraf Batik disertai oleh seramai 55 orang, manakala Pertandingan Seni Kraf Ukiran kayu terdiri daripada 51 orang peserta daripada 15 buah sekolah di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Melaka.
Untuk rekod, hari terbuka IKN kebiasaannya dianjurkan setiap tahun sejak tahun lepas bagi mencungkil bakat dan kreativiti penghasilan produk kraf dalam kalangan remaja sekolah menengah terutamanya pelajar tingkatan empat dan lima. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram