Polis bebaskan 2 suspek pelajar IPT terlibat serangan Balai Polis Ulu Tiram tanpa syarat


  • 112
  • Rabu, 22 Mei 2024

Dua suspek yang ditahan berhubung insiden serangan Balai Polis Ulu Tiram, minggu lalu, telah dibebaskan oleh Polis Johor.

DUA suspek yang ditahan berhubung insiden serangan Balai Polis Ulu Tiram, Johor, minggu lalu, telah dibebaskan oleh Polis Johor, pada Selasa.

Menurut Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar, kedua-dua suspek yang merupakan pelajar lelaki di sebuah kolej swasta berusia 22 tahun dan seorang pelajar perempuan di sebuah institusi latihan berusia 21 tahun itu dibebaskan tanpa syarat.

Komisioner M Kumar, berkata pembebasan dua pelajar terbabit dibuat selepas mendapat arahan daripada Pejabat Peguam Negara.

BACA LAGI: Jangan simpati, kubur suspek serang Balai Polis Ulu Tiram perlu dijarakkan — Jawatankuasa Fatwa Johor

BACA LAGI: Balai polis Ulu Tiram tersorok, bekas timbalan OCPD gesa lokasi ditukar demi keselamatan

"Polis Johor ingin mengesahkan dua pelajar masing-masing berusia 22 dan 21 tahun yang juga penuntut sebuah kolej swasta serta institusi latihan yang ditahan pada 17 Mei lalu untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan berhubung serangan di Balai Polis Ulu Tiram, sudah dibebaskan.

"Mereka berdua dibebaskan tanpa syarat, semalam, selepas mendapat arahan daripada Pejabat Peguam Negara.

"Bagaimanapun, siasatan terhadap lima ahli keluarga suspek masih diteruskan berikutan tahanan reman mereka hanya akan tamat pada 24 Mei ini," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Untuk rekod, dalam kejadian pada pukul 2.45 pagi 17 Mei 2024 itu, dua anggota Balai Polis Ulu Tiram, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, maut manakala seorang lagi anggota polis, Koperal Mohd Hasif Roslan, 38, parah selepas ditetak dan tembak suspek.

Dalam masa sama, polis turut menasihatkan orang awam tidak membuat spekulasi, memanipulasi fakta atau membuat sebarang komen di media sosial berkenaan insiden ini sehingga boleh menggugat ketenteraman awam dan menganggu siasatan pihak polis. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram