SEBANYAK 992 tiket perkhidmatan Tren Khas Eskpres Lambaian Aidiladha (ELA) disediakan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) untuk perjalanan dari Stesen KL Sentral ke Stesen Tumpat, Kelantan dan sebaliknya sempena sambutan Aidiladha pada Jun.
KTMB memaklumkan, jualan tiket akan mula dibuka pukul 10 pagi Jumaat dengan harga bermula RM55 hingga RM83 bagi perjalanan sehala.
Katanya, perkhidmatan tren khas itu merupakan antara inisiatif bagi menghargai penumpang setianya, selain menawarkan pengangkutan alternatif kepada penumpang yang akan pulang ke Pantai Timur sempena Aidiladha ini.
BACA LAGI: KTMB tambah baik garis panduan sewaan khas susulan isu 'disko bergerak'
BACA LAGI: KTMB sedia 4 tren tambahan sempena Aidiladha
Sambutan Aidiladha yang bermula pada Jun. — Gambar hiasan
"Ia juga sebagai tanda sokongan kepada pihak kerajaan dalam mengatasi penggunaan jalan darat yang sering kali sesak dengan kadar trafik yang tinggi, khususnya di musim perayaan.
"inisiatif ini juga khusus buat mereka yang ingin pulang ke kampung dengan selesa, selamat dengan tambang yang berpatutan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
KTMB berkata, perkhidmatan tren khas itu juga menawarkan keselesaan kepada orang ramai termasuk kanak-kanak dan warga emas untuk pulang ke kampung serta memberi peluang kepada pelancong yang berhasrat untuk mengunjungi lokasi pelancongan di Pantai Timur.
Tren Khas ELA tersebut akan berhenti di 17 stesen iaitu Stesen KL Sentral, Kuala Lumput; Bandar Tasik Selatan, Kajang, Selangot; Gemas, Bahau, Seremban, Negeri Sembilan; Pulau Sebang, Mentakab,Jerantut, Kuala Lipis, Pahang; Gua Musang, Dabong, Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Mas, Wakaf Bharu dan Tumpat, Kelantan.
Tren khas itu turut dilengkapi dengan koc katil, koc tempat duduk premier, koc tempat duduk superior, koc buffet, dan koc chillax.
Tambahnya, jadual tren khas itu bermula pada 14 Jun bagi laluan KL Sentral-Tumpat dengan masa bertolak pukul 11 malam, manakala pada 19 Jun membabitkan perjalanan Tumpat-KL Sentral dengan masa berlepas pukul 10.45 malam.
Dalam pada itu, pengguna disarankan membuat pembelian tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) boleh dimuat turun melalui Play Store, Appstore dan App Gallery atau menerusi laman sesawang KTMB www.ktmb.com.my.
Untuk pertanyaan lanjut, hubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-9779 1200 atau layari saluran media baharu rasmi KTMB. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram