Muzium buah naga gergasi ikon pelancongan Sepang


  • Relaks
  • Ahad, 21 Jan 2024

HL Dragon Fruit Eco Farm merupakan salah satu tempat menarik yang wajib dikunjungi di Sepang, Selangor.

HL Dragon Fruit Eco Farm Sepang kini menjadi sasaran untuk merancakkan industri pelancongan tempatan di negara ini khususnya di Selangor.

Memiliki struktur berbentuk buah naga gergasi, ciptaan unik itu dikenali sebagai Muzium Mini Buah dan sudah bertapak selama empat tahun di kawasan berkenaan.

Muzium yang memiliki dua tingkat itu disertakan paparan bercahaya dalam gelap untuk memberi pengalaman yang luar biasa buat pengunjung.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Food hunter', kaki mancing & kaki jalan usah pening lagi, HOHO antara 5 tempat menarik di Sepang

photo_2024-01-21_15-18-27

Muzium Mini Buah yang memiliki dua tingkat itu disertakan paparan bercahaya dalam gelap.

Dipenuhi dengan sejarah, muzium itu menyerlahkan sejarah Sepang dengan lukisan hebat yang dihasilkan khas buat muzium berkenaan.

Di bahagian bawah menara, muzium itu dilengkapi dengan lukisan mural yang mencerminkan dan menceritakan tanaman utama penduduk di sekitar Sepang iaitu lada hitam, gambir dan kopi yang menjana pendapatan mereka.

Di tingkat satu pula, dipenuhi lukisan mural dengan gambaran penanaman buah naga dan penternakan ikan kerapu yang menjadi sumber penduduk setempat.

Lebih menarik, lukisan kapal terbang juga diukir pada muzium itu sebagai lambang pemandangan yang sering dilihat di Sepang memandangkan kawasan itu berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pengunjung yang menyukai pemandangan indah dari aras tingkat atas juga boleh menaiki ke puncak menara buah naga untuk melihat kawasan keseluruhan HL Dragon Fruit Eco Farm.

Selain itu, ladang HL Dragon turut dipenuhi dengan tanaman empat jenis buah naga iaitu Hylocereus undatus (Honey white), Hylocereus costaricensis (Red ruby), Hylocereus polyphizus (Pink ruby) dan Selenicereus megalanthus (Yellow ruby).

Campuran buah naga yang berbeza-beza ini turut dihidangkan dalam bentuk makanan dan minuman yang boleh didapati di restoran dalam ladang ini.

Antara menu yang popular adalah seperti crispy dried dragon fruit slices, jus asli buah naga, roti kari ayam dan nasi lemak buah naga.

BACA LAGI: [VIDEO] Fire show, sukan ATV jadikan percutian di Avani Sepang Goldcoast lebih mengujakan

photo_2024-01-21_15-15-25

Menu istimewa restoran HL Dragon Fruit Farm iaitu nasi lemak buah naga.

Kreatif dalam mencipta produk, nasi lemak buah naga yang dihidang kepada pengunjung sangat berbeza daripada nasi lemak lain kerana mengandungi biji buah naga dalam nasi selain warnanya juga menarik kerana kemerah-merahan.

Selain itu, mereka turut menggabungkan rasa tiga jenis buah naga yang berbeza untuk menghasilkan resipi istimewa, iaitu roti ban jumbo dragon berintikan kari ayam yang menjadi produk paling popular di tempat itu.

Boleh dinikmati masyarakat tanpa mengira kaum, sajian menu di HL Dragon Fruit Ecofarm disahkan halal dan mendapat pengiktirafan dari segi penyediaan makanan, kebersihan dan pembungkusannya.

Kelengkapan HL Dragon Fruit Ecofarm sememangnya mampu meningkatkan pengunjung di negara ini.

Jurucakap HL Dragon Fruit Ecofarm, Axel Cia berkata, kawasan berkenaan kini dalam perancangan untuk menambah homestay bagi membolehkan lebih ramai pengunjung merasai pengalaman hebat di kawasan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram