POLIS Melaka menahan seorang lelaki berusia 27 tahun yang didakwa mengintai dan menyimpan koleksi video wanita dalam tandas sebuah kafe popular di Lorong Hang Jebat, Melaka pada Ahad.
Ketua Polis Melaka, Deputi Komisioner Polis (DCP) Datuk Zainol Samah berkata, suspek lelaki warga Indonesia itu ditahan susulan laporan polis dibuat seorang wanita berusia 24 tahun dari Selangor pada hari kejadian.
Katanya, mangsa menangkap suspek di dalam tandas sebuah kafe kira-kira pukul 4.15 petang.
BACA LAGI: Polis cekup suspek kes sorok kamera dalam bekas pewangi di homestay
"Mangsa mendakwa sebuah telefon bimbit sengaja diletakkan melalui lubang angin ketika menggunakan tandas berkenaan.
"Dia kemudiannya memancutkan air ke arah suspek yang ketika itu sedang memegang telefon pintar sebelum bergegas ke luar tandas dan menahan pelaku," katanya pada Selasa.
Zainol berkata, mangsa kemudiannya memberitahu rakan tentang kejadian itu dan memaklumkan kepada pengurus kedai berkenaan.
Beliau berkata, telefon bimbit suspek diperiksa seorang tukang cuci di situ dan mendapati banyak video wanita lain dipercayai dirakam ketika mereka menggunakan tandas berkenaan.
Suspek yang difahamkan bekerja di premis itu sejak tahun lalu didapati positif dadah dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan. — The Star/RSN MURALI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram