Tak cukup hanya tahu tempat kamera disembunyikan, ini 3 cara nak kesan ada 'kaki skodeng' dalam bilik hotel


  • Massa
  • Ahad, 11 Feb 2024

Tangkap layar foto memaparkan sejenis kamera tersembunyi ditemukan dalam soket elektrik di sebuah bilik hotel dekat Kota Kianabalu, Sabah pada sekitar September tahun lalu.

TULAR sejak Jumaat kejadian penemuan satu kamera yang disembunyikan di dalam sebuah tandas pada sebuah rumah inap desa (homestay) dekat Jelutong, George Town, Pulau Pinang.

Menerusi perkongsian dibuat oleh pengadu yang juga seorang wanita berusia 24 tahun itu, dia menjumpai alat rakaman tersebut di dalam sebuah bekas pewangi.

Insiden berkenaan menyebabkan percutian mangsa bersama tiga temannya menjadi satu peristiwa yang cukup traumatik.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid pada Sabtu mengesahkan kejadian tersebut.

2538251

Tempat pengadu menjumpai kamera yang tersembunyi di dalam tandas di Pulau Pinang baru-baru ini.

Menurutnya, polis kini sedang menyiasat kes tersebut di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana perbuatan mengaibkan kehormatan seseorang.

Untuk rekod, insiden sedemikian bukanlah kali pertama dilaporkan berlaku di dalam negara.

Ini kerana sekitar September tahun lalu, sepasang suami isteri warga China yang sedang bercuti di sebuah hotel di Kota Kinabalu, Sabah turut menjumpai satu kamera tersembunyi yang diletakkan di dalam bilik penginapan mereka.

Kejadian sedemikian sekiranya tidak disedari oleh pengguna pastinya mendedahkan mereka kepada risiko keselamatan dan pencerobohan privasi.

Isu ini lebih dirumitkan dengan kemajuan teknologi yang membolehkan kamera disorok di tempat lebih sulit dan sukar untuk dijumpai.

Bagaimanapun, terdapat beberapa cara boleh digunakan orang ramai untuk mengesan kehadiran alat rakaman tersebut di tempat penginapan termasuk di hotel.

Berikut Majoriti senaraikan tiga langkah mudah boleh dilaksanakan bagi mengenal pasti kehadiran kamera tersembunyi:

1. Kenal pasti lokasi biasa kamera disembunyikan

Kebiasaannya, penjenayah yang melakukan kegiatan ini akan menyembunyikan kamera di tempat yang sukar untuk dicapai atau dilihat dengan mata kasar oleh penghuni.

Disebabkan itu, terdapat beberapa pilihan tempat dan barangan yang lazimnya dijadikan lokasi bagi menyembunyikan alatan berkenaan.

BACA LAGI: [VIDEO] Tersembunyi dalam bekas pewangi, 4 wanita trauma jumpa kamera skodeng dalam bilik air homestay di P.Pinang

9120B-Hardwired_Smoke_Alarm_with_Battery_Backup-6

Alat pengesan asap turut berpotensi menjadi tempat kamera disembunyikan. — Gambar hiasan/Agensi

Antaranya adalah pengesan asap, penapis udara, buku, hiasan dinding, kotak tisu, patung, kotak tv digital, penyangkut pakaian, pen dan almari.

2. Tutup lampu

Sebelum membuat pemeriksaan di lokasi dan barangan disasarkan itu, pengguna perlu terlebih dahulu menutup semua lampu dan langsir bagi memastikan ruangan di dalam bilik menjadi gelap.

Dengan cara ini, ia akan dapat membantu mengesan alatan sebarang cahaya yang biasanya dihasilkan oleh kamera tersembunyi tersebut.

Untuk mendapatkan lebih kepastian, anda juga boleh cuba untuk memuat naik aplikasi percuma seperti Hidden Camera Detector di telefon pintar masing-masing.

Aplikasi ini membantu dalam mengesan sebarang cahaya infra merah atau lebih dikenali sebagai infra red daripada kamera pengintip.

3. Periksa talian WiFi

Selain itu, cara lain yang boleh digunakan bagi mengesan kamera tersembunyi adalah dengan membuka talian WiFi di telefon bimbit.

Dengan cara ini, pengguna boleh mengesan sekiranya wujud sebarang talian atau sambungan wifi yang memiliki nama agak pelik.

BACA LAGI: [VIDEO] Pasangan 'honeymoon' China terkejut jumpa kamera 'skodeng’ dalam soket elektrik dekat hotel Kota Kinabalu

Screenshot 2024-02-10 180305

Pengguna juga boleh menggunakan aplikasi yang disediakan di telefon bimbit bagi mengesan sebarang talian yang berkemungkinan digunakan bagi kamera tersembunyi.

Pada masa sama, pengguna juga boleh memuat naik aplikasi seperti fing yang dilengkapi dengan ciri perkongsian maklumat lebih terperinci mengenai talian berada di sekitar anda.

Melalui aplikasi seperti ini, anda boleh mengenalpasti maklumat berkenaan alat eletronik bersambung dengan talian wifi di sekitar termasuk jenis model peranti rakaman yang sedang aktif. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram