Polis cekup suspek kes sorok kamera dalam bekas pewangi di homestay


  • 112
  • Ahad, 11 Feb 2024

Gambar dikongsikan mangsa memaparkan kamera yang ditemui di dalam bilik air sebuah inap desa di Jelutong, George Town pada Selasa lalu.

POLIS menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung penemuan kamera tersembunyi di dalam alat pewangi bilik air di sebuah rumah inap di Jelutong, George Town, Pulau Pinang, pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut , Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, suspek berusia 20 tahun itu ditahan di Kuala Lumpur pada petang Ahad susulan maklumat diterima daripada orang ramai dan pemantauan polis.

Menurutnya, suspek merupakan rakan kepada wanita yang membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.

BACA LAGI: [VIDEO] Tersembunyi dalam bekas pewangi, 4 wanita trauma jumpa kamera skodeng dalam bilik air homestay di P.Pinang

2538250

Tempat kamera terbabit disembunyikan.

BACA LAGI: Tak cukup hanya tahu tempat kamera disembunyikan, ini 3 cara nak kesan ada 'kaki skodeng' dalam bilik hotel

Razlam berkata suspek, yang ditahan itu juga difahamkan tinggal di rumah inap terbabit bersama beberapa rakan lain.

"Polis mengenal pasti suspek sebelum menahannya bagi membantu siasatan berhubung kamera yang disorok di dalam bilik air rumah inap itu.

"Kami mendapat perintah reman selama empat hari manakala kes akan disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan kesopanan seseorang," katanya seperti dilaporkan The Star.

Razlam pada Sabtu mengesahkan menyiasat kes penemunan kamera kecil yang tersembunyi di dalam bilik air sebuah inap desa di Jelutong, George Town, seperti yang tular di sosial media sejak Jumaat.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada Selasa lalu daripada pengadu yang merupakan wanita berusia 24 tahun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram