Kes bunuh Zayn Rayyan: Polis panggil pengasuh, 2 ahli keluarga beri keterangan


  • 112
  • Isnin, 03 Jun 2024

Zayn Rayyan dilaporkan dibunuh selepas ditemui mati di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya pada Disember tahun lalu.

PENGASUH kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin serta dua ahli keluarganya dipanggil polis bagi membantu siasatan kes pembunuhan kanak-kanak malang itu pada Isnin.

Pengasuh terbabit, Auni Afiqah Abas, 28 tahun, dilihat memasuki perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah, IPD Petaling Jaya, Selangor sekitar pukul 11.26 pagi dengan menaiki Perodua Alza putih.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan perkara itu.

BACA LAGI: Zayn Rayyan: Hanya seorang suspek terlibat, letak mayat waktu hujan lebat — Polis

BACA LAGI: Kes bunuh Zayn Rayyan, polis kumpul DNA 228 penduduk Apartment Idaman

"Ya. Polis ambil keterangan tiga individu iaitu pengasuh dan dua ahli keluarga dia termasuk ibunya. Beberapa saksi lain juga mungkin akan dipanggil sekiranya ada keperluan untuk membantu siasatan," katanya menurut laporan BuletinTV3.

Terdahulu, ibu bapa Zayn ditahan di sekitar Puncak Alam pukul 10.05 pagi oleh pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Jumaat.

Kedua-duanya direman selama tujuh hari di Mahkamah Majistret Petaling Jaya di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan telefon bimbit ibu dan bapa mangsa turut dirampas bagi membantu siasatan.

Untuk rekod, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya, Selangor, pada Disember lalu.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan kediamannya sebelum ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.

Polis mengesahkan mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram