PENGUNJUNG sebuah acara pemotoran di sebuah tempat letak kenderaan pusat beli-belah di Damansara, Petaling Jaya, Selangor pada Sabtu dikejutkan dengan insiden kebakaran melibatkan kereta milik salah seorang pesertanya.
Kebakaran melibatkan kenderaan mewah jenis Nissan Fairlady 350z itu tular selepas ia dikongsikan di media sosial.
Difahamkan, insiden terbabit berlaku ketika penganjuran sebuah acara menghimpunkan penggemar pemotoran dikenali sebagai Retro Havoc.
Menerusi klip tular, kereta berwarna biru yang disifatkan sebagai agak 'rare' dalam kalangan penggemar permotoran itu dilihat mengalami kebakaran pada bahagian belakang.
Peka dengan situasi itu, seorang lelaki kemudiannya segera memadamkan kebakaran dengan menggunakan alat pemadam api.
Di ruangan komen, rata-rata daripada warganet mempersoalkan punca kenderaan terbabit boleh terbakar.
Malah, terdapat netizen mendakwa penganjuran acara tersebut pada tahun ini disifatkan agak kelam kabut dengan terdapat sekurang-kurangnya tiga kenderaan dikatakan mengalami kebakaran enjin semasa acara berkenaan.
Bagaimanapun, menjawab mengenai pertanyaan warganet, seorang individu dipercayai pemilik kereta terbabit yang menggunakan akaun TikTok, Foo Koijun memaklumkan bahawa enjin kenderaannya masih berada dalam keadaan baik di sebalik insiden berkenaan.
"Saya pemilik Z (Nissan Fairlady 350z). Enjin masih ok. 'Bumper' dan lampu belakang perlu ditukar," tulisnya di ruangan komen hantaran tular mengenai kejadian tersebut.
— @ (@anthraxxx781) June 3, 2024
Pada masa sama, di akaun TikToknya, lelaki itu turut berkongsikan gambar memaparkan keadaan kereta terbabit yang mengalami kerosakan pada bahagian belakang ekoran kebakaran itu.
Menerusi foto dikongsikan, dia juga dilihat masih mampu tersenyum sambil bergambar bersama kenderaan terbabit selepas kejadian.
Kereta terbabit kemudiannya terpaksa dibawa keluar dengan menggunakan trak tunda.
Kebakaran yang berlaku itu dipadamkan dengan menggunakan alat pemadam api.
Menerusi hantaran berkenaan, lelaki terbabit turut melahirkan penghargaan terhadap pihak yang membantu memadamkan kebakaran terhadap kenderaannya.
Dalam pada itu, penganjur yang juga pengasas Retro Havoc, Mohamad Ali Mohamad Said melahirkan kekesalan atas insiden tular itu yang menurut beliau berlaku akibat sikap tidak bertanggungjawab segelintir peserta yang gagal mengikut peraturan ditetapkan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kejadian kebakaran itu merupakan isu terpencil dan hanya melibatkan satu dua individu berbanding keseluruhan hampir 1,000 peserta yang menyertai acara tersebut.
"Kita kesal sebab peserta tidak ikut panduan ditetapkan. Peraturan kita jelas tak benarkan contohnya larangan 'engine revving', 'burnout' atau 'wheelspin' sepanjang acara berlangsung," katanya kepada Majoriti.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pasukan petugasnya juga sentiasa memastikan tahap keselamatan tempat acara terbabit berada di tahap terbaik.
"Kebakaran (tular) itu tidak sampai 10 saat kita dah padam. Kru kita ada dalam 127 orang untuk pastikan acara berjalan dengan lancar dan selamat," ujarnya.
Dalam pada itu, Mohamad Ali berkata, dalam acara yang berlangsung pada Sabtu lalu itu, pihaknya juga sudah mengambil tindakan terhadap tiga hingga empat individu yang melanggar peraturan ditetapkan termasuk mengenakan denda mencecah RM5,000.
Ujarnya, bagi mengelakkan berulangnya insiden tidak diingini pada masa depan, dia juga mengenakan larangan terhadap individu tertentu yang didapati melanggar peraturan daripada kembali menyertai acara berkenaan pada tahun akan datang.
"Sejak 10 tahun lepas, tiap tahun saya dah 'banned' berpuluh orang," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram