PRK Sungai Bakap: AMK cadang calon mampu bawa suara anak muda


  • Politik
  • Ahad, 02 Jun 2024

Adam berkata, pertemuan antara bersama Pemuda Kerajaan Perpaduan akan diadakan pada Ahad malam bagi membincangkan perkara itu.

ANGKATAN Muda Keadilan (AMK) mengumumkan bahawa pihaknya akan mencadangkan beberapa pemimpin muda berpotensi untuk diketengahkan sebagai calon dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap akan datang.

Ketuanya, Adam Adli Abd Halim berkata, pertemuan antara AMK yang merupakan sayap pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersama Pemuda Kerajaan Perpaduan akan diadakan pada Ahad malam bagi membincangkan perkara itu.

"Setiap pihak dalam parti diberi peluang untuk mengemukakan calon masing-masing, jadi ia bukan perkara yang kita bimbang. Pada masa sama, kita juga berdisiplin kerana kita akan memberi sokongan penuh kepada mana-mana calon dipilih parti,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Jelajah Jumpa Orang Muda (JOM) Pulau Pinang di Dewan Konvensyen Arena Seberang Perai, Seberang Jaya, Pulau Pinang.

BACA LAGI: Nasib 7 wakil rakyat BERSATU terjawab, PRK bakal jadi penentu masa depan Umno, kerjasama Kerajaan Perpaduan

BACA LAGI: Azmin dan Hamzah belum cukup syarat, tiada keperluan tanding rebut jawatan Timbalan Presiden BERSATU — Wan Saiful

Adam yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu berkata, perbincangan masih dijalankan dan parti akan membuat keputusan mengenai calon terbabit.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 6 Jun depan bagi membincangkan tarikh PRK DUN Sungai Bakap susulan kematian ADUN Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat radang perut.

Nor Zamri yang juga Ketua PAS Nibong Tebal menewaskan Nurhidayah Che Rose dari Pakatan Harapan (PH) dengan majoriti 1,563 undi semasa pilihan raya negeri Pulau Pinang pada Ogos lalu.

Berdasarkan rekod SPR pada pilihan raya negeri lepas, DUN Sungai Bakap mempunyai 38,409 pengundi, terdiri daripada 59.36 peratus Melayu, 22.54 peratus Cina, 17.39 peratus India dan 0.71 peratus kaum lain. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram