[VIDEO] Calon Datuk Bandar Mexico ditampar lelaki bertopi koboi sebelum mati kena tembak 2 hari sebelum pilihan raya


  • Benua
  • Ahad, 02 Jun 2024

Tangkap layar video memaparkan detik-detik sebelum kematian Jorge yang ketika itu sedang duduk di dalam kereta sambil bertengkar dengan seorang individu lain di luar kenderaannya. — Agensi

SEORANG lagi calon datuk bandar dibunuh di negeri Puebla, tengah Mexico pada Jumaat, kurang 48 jam sebelum pilihan raya umum berlangsung, sekali gus menjadikan kempen kali ini tahun pilihan raya paling ganas pernah direkodkan di negara itu.

Menurut pejabat pendakwa raya negeri, Jorge Huerta Cabrera ditembak mati di bandar Izucar de Matamoros, iaitu kawasan beliau dicalonkan.

Menurut pihak berkuasa, turut tercedera dalam serangan tersebut adalah isteri Jorge dan seorang rakan sekerjanya.

BACA LAGI: Nasib 7 wakil rakyat BERSATU terjawab, PRK bakal jadi penentu masa depan Umno, kerjasama Kerajaan Perpaduan

BACA LAGI: Azmin dan Hamzah belum cukup syarat, tiada keperluan tanding rebut jawatan Timbalan Presiden BERSATU — Wan Saiful

Video dipercayai memaparkan detik serangan itu turut dirakam menunjukkan Jorge sedang duduk di dalam kereta di tempat duduk pemandu sambil membuka tingkap keretanya dan bertengkar dengan seorang individu lain yang berada di luar.

Lelaki berkenaan yang memakai topi koboi kemudiannya dilihat menampar kepala calon berkenaan yang ketika itu masih berada di dalam kereta.

Pada masa sama, suspek juga seterusnya didapati memanggil seorang lagi individu lain yang kemudiannya dipaparkan mengacukan pistol ke arah Jorge.

Klip tular itu kemudiannya memaparkan badan dipercayai milik calon itu yang sudah terbaring di belakang sebuah trak pikap.

Jorge merupakan calon untuk Green Party, iaitu parti sekutu pemerintah Morena.

photo1717337988

Jorge merupakan calon untuk Green Party, iaitu parti sekutu pemerintah Morena. — Agensi

Menurut data daripada perunding keselamatan, Integralia, pembunuhan itu menjadikan bilangan calon terbunuh musim pilihan raya 2024 kepada 37, lebih satu daripada rekod tertinggi yang dicatatkan pilihan raya pertengahan 2021 iaitu 36 calon terbunuh.

Pada Rabu lalu, tempoh kempen ditutup menjelang pengundian Ahad, di mana kira-kira 100 juta rakyat Mexico, daripada populasi 129 juta akan layak mengundi.

Pilihan raya kali ini bakal menyaksikan pemilihan bagi presiden baharu, ahli Parlimen, gabenor negeri dan ribuan pegawai tempatan.

Bakal calon Presiden negara itu yang dijangka menampilkan pemimpin wanita akan berdepan isu menangani keganasan kartel yang menyaksikan pembunuhan dan penculikan berlaku setiap hari di Mexico. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram