[VIDEO] Wanita hamil bayi kembar maut, anak anggota tentera sekelip mata jadi yatim piatu


  • 112
  • Ahad, 02 Jun 2024

Difahamkan, mangsa bersama keluarganya dalam perjalanan pulang ke Tunjong, Kota Bharu selepas menerima rawatan di sebuah hospital di Ipoh, Perak dengan menaiki kereta jenis Kia Rio.

SEORANG wanita yang sedang sarat mengandung anak kembar terkorban bersama suaminya yang juga seorang tentera selepas kereta dinaikinya terbabas dalam kemalangan maut di Jalan Gua Musang-Lojing, Gua Musang, Kelantan, pada Ahad.

Mangsa, Suhana Khairudin, 37 yang sedang hamil enam bulan meninggal dunia di tempat kejadian bersama suaminya, Ridwan Effendy Yusof, 43, dalam insiden yang berlaku sekitar pukul 9.35 pagi.

Sementara itu, dua lagi penumpang yang juga anak kepada pasangan itu, Akid Darwisy Ridwan, 9, dan Qaisara Damia, 15, mengalami luka di bahagian kaki dan mulut akibat kemalangan tersebut.

BACA LAGI: Nasib 7 wakil rakyat BERSATU terjawab, PRK bakal jadi penentu masa depan Umno, kerjasama Kerajaan Perpaduan

BACA LAGI: Azmin dan Hamzah belum cukup syarat, tiada keperluan tanding rebut jawatan Timbalan Presiden BERSATU — Wan Saiful

Menurut laporan Harian Metro yang menemu bual ahli keluarga mangsa, Suhana bersama keluarganya difahamkan dalam perjalanan pulang ke Tunjong, Kota Bharu selepas menerima rawatan di sebuah hospital di Ipoh, Perak dengan menaiki kereta jenis Kia Rio.

Terdahulu, arwah dilaporkan menerima rawatan di Hospital Kota Bharu dan dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur sebelum ke hospital di Ipoh.

447482096_856498576521573_8783740478885071328_n

Keadaan kereta dinaiki keluarga mangsa yang terbabas di longkang tepi jalan. — Bomba

Menerusi laporan sama, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo turut mengesahkan kejadian tersebut.

"Apabila sampai di lokasi kejadian, kenderaan dipandu mangsa (Ridwan Effendy) dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan sebelah kiri dan merempuh tembok longkang di tepi jalan.

"Akibat pelanggaran itu, mangsa yang juga anggota tentera tercampak keluar dari kenderaan dan maut di lokasi kejadian," katanya.

Difahamkan, impak kemalangan itu menyebabkan Suhana yang berada di tempat duduk penumpang tercampak beralih ke kerusi pemandu.

Choon Foo memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian dan siasatan lanjut masih dijalankan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram